Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kakitangannya.

Ia akan mula dibayar sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentang Belanjawan Johor 2023 semasa Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

“Bantuan khas kewangan ini juga akan dipanjangkan kepada semua guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan guru Tadika Islam Johor (TAJ).

“Semoga dengan sumbangan kewangan ini dapat memberi motivasi dalam kalangan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

“Kerajaan negeri amat menghargai sumbangan penjawat awam dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan. Mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan rakyat mendapat manfaat yang maksimum daripada dasar-dasar kerajaan dan ini tanda penghargaan dan terima kasih,” katanya.

Dianggarkan seramai 13, 400 kakitangan awam negeri itu bakal menerima manfaat berkenaan.

Jelas Onn Hafiz, pembayaran dibuat dua kali iaitu pada akhir tahun ini dan menjelang Hari Raya Aidilfitri 2023.

Kerajaan Johor hari ini membentangkan belanjawan lebihan RM2.44 juta selepas dua tahun berturut-turut merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

Kali terakhir Johor merekodkan belanjawan lebihan adalah pada 2020 yang menyaksikan lebihan sebanyak RM2.36 juta untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Diunjurkan Johor mengutip hasil dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Belanjawan Johor 2023 kali ini bertemakan ‘Maju Johor,  Makmur Bersama Rakyat’ itu membabitkan sejumlah RM69.51 perbelanjaan tanggungan dan bakinya, RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Johor bentang Belanjawan 2023 hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast