Anwar Ibrahim

LANGKAH masuk ke pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada 18 November 2022 jelas memaparkan sosok tubuh seorang negarawan yang lengkap berbusana baju Melayunya dan bercapal.

Itulah jati diri Melayu nusantaranya, Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjalan segak sambil menaruh harapan rakyat yang membayangkan Malaysia memerlukan Kerajaan Perpaduan bersifat negarawan.

Apa yang ada di dalam sifat-sifat negarawan itu?

Mengikut Kamus Dewan, negarawan ini adalah kelompok orang yang mahir benar dengan tampuk pemerintahan negara, seorang yang ulung, dihormati serta mempunyai kebijaksanaan dan kejujuran yang unggul.

Persoalan yang besar sekarang ialah sejauh mana Malaysia hendak di halatuju dalam kepelbagaian dasar dan polisi bagi mengembalikan semula kegemilangan negara ini terutama menangani soal kesejahteraan rakyat, pemulihan kesihatan awam, perpaduan nasional dan kemakmuran ekonomi?

Malah, ekonomi negara dilihat semakin terdesak akibat ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik empat tahun lalu apatah lagi diratah dengan ujian tsunami Covid-19 global yang memberi kesan sangat mendalam kepada masyarakat.

Perdana Menteri Ke-10 sudah pastinya memikirkan barisan Kabinet baharu yang mempunyai ciri-ciri negarawan itu.

Siddiq, amanah, tabliqh dan fatanah adalah empat teras utama yang perlu ada di dalam barisan Kabinet bersifat negarawan ini.
Harus diterjemahkan.

Maka rakyat pastinya menganggap barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang bakal dilantik akan dilihat hebat di mata mereka apabila setiap barisan Menteri dan Timbalan Menteri perlu menunjukkan sifat-sifat sabar, lemah lembut, toleransi tetapi tegas yang berpaksikan aspek aqidah, syariat dan akhlak.

Pernah dulu seketika, Anwar sinonim dengan laungan membangun negara madani dan diulangkan semula laungan itu pada awal November 2022 lalu sewaktu pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani di ibu kota Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, Anwar telah menzahirkan soal membangun negara madani perlu dilihat juga soal dasar, isu kemampanan ekonomi dan ihsan.

Semua ini perlukan sifat penyayang dalam Malaysia dan mempertahan nilai akhlak yang menjadi teras dalam fahaman Islam dan didukung agama lain.

Sifat-sifat awalan Kerajaan Perpaduan bersifat negarawan ini mula kenampakkan menerusi janji Perdana Menteri baharu iaitu mempertahankan dan mengangkat Bahasa Melayu, agama Islam, keistimewaan orang Melayu/Bumiputera serta kedudukan Raja-Raja Melayu.

Soal isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat diletakkan sebagai agenda utama Kerajaan Perpaduan selain menjaga hak semua rakyat termasuk golongan terpinggir tidak mengira bangsa dan agama.

Malahan Perdana Menteri sendiri mengingatkan Kabinet baharu kelak diingatkan supaya menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak pentadbiran kerajaan.

Atas dasar itu, barisan Kabinet bersifat negawaran yang terpilih kelak perlu bersiap siaga dan bukan sekadar menonjolkan Kerajaan Perpaduan semata-mata tetapi perlu menitikberatkan hal ehwal kehidupan harian sebagai tunjang membina tamadun masyarakat madani Malaysia yang unggul.

Saya berpandangan seorang negarawan di barisan Kabinet baharu harus dan akan lebih meletakkan profesionalisme dan moral sebagai syarat utama.

Kebijaksanaannya hendaklah diangkat demi kepentingan rakyat secara holistik dan tidak didorongkan dengan soal-soal kepentingan diri sendiri dan kelompok tertentu.

Katakan tidak kepada janji bulan dan bintang tetapi hendaklah janji kepada rakyat itu sebagai satu amanah seorang pemimpin bersifat negawaran yang seharusnya membawa kepada kesejahteraan, keadilan dan kedamaian bagi rakyat Malaysia.


Penulis ialah Penganalisis Kanan Sosio-Ekonomi dan Politik di Pusat Penyelidikan Strategik, sebuah badan bebas pemikir dan juga bekas Setiausaha Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Parlimen Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast