Bekalan lebih tiga juta liter minyak diesel bersubsidi sebulan untuk menampung 200 bot pukat tunda di sini tidak mencukupi.

KUANTAN – Bekalan lebih tiga juta liter minyak diesel bersubsidi sebulan untuk menampung 200 bot pukat tunda di sini tidak mencukupi.

Salah seorang wakil Persatuan Nelayan Bot Pukat Tunda Kuantan, Teoh Boon Guan berkata, mereka memerlukan sekurang-kurangnya sekali ganda daripada jumlah tersebut.

“Ada lagi banyak bot nak masuk (jeti) di halau keluar (kerana tak cukup minyak). Permasalahan ini sudah berlarutan hampir enam bulan. Kita terpaksa tunggu sahaja, tak boleh buat apa-apa.

“November punya kuota sudah habis, jadi hari ini kita terpaksa pakai kuota Disember,” luahnya.

Teoh Boon Guan

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.

Jelas Boon Guan, kira-kira 100 buah bot  berlabuh di jeti terbabit menunggu giliran untuk mendapatkan minyak bersubsidi.

Namun, ramai pengusaha bot yang terpaksa pulang dengan tangan kosong berikutan minyak bersubsidi tidak mencukupi.

“Sekali kalau tak turun ke laut boleh kerugian minimum RM5,000 juga. Sebab itu rakyat terpaksa beli ikan dengan harga tinggi,” jelas Teoh.

Bagaimanapun, buat masa ini, beliau memberitahu, bekalan ikan masih mencukupi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang memberi jaminan akan membawa isu tersebut kepada pihak berwajib.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang

“Perkara ini saya ambil maklum dan akan kemukakan kepada kementerian tapi belum ada menteri.

“Tapi kalau keperluan mendesak, saya akan bawa kepada Perdana Menteri yang baru. Kita akan selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sim berkata demikian selepas bertemu dan mendengar aduan disuarakan pengusaha bot nelayan pukat tunda di sini hari ini.- MalaysiaGazette