Antara barangan yang dirampas susulan penahanan warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam sindiket proses dan menjual permit kerja asing palsu di Shah Alam.- Gambar ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga Bangladesh yang disyaki dalang sindiket pemprosesan dan penjualan dokumen permit kerja palsu akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa.

Ketiga-tiga suspek dikatakan menyasarkan pelanggan yang terdiri daripada warga asing khususnya di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pada 29 November lalu pihaknya telah membuat serbuan mengejut di Kampung Baru Hicom.

“Hasil daripada serbuan tersebut, polis telah mengempur sebuah rumah yang diduduki warga asing sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warganegara Bangladesh.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kediaman itu, kami berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah laptop, sebuah mesin cetak, tiga buah pasport, 10 keping pas lawatan kerja sementara dan empat buah telefon bimbit yang digunakan untuk tujuan mengeluarkan permit kerja yang dipercayai palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, siasatan lanjut polis mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di Glenmarie Shah Alam.

Ujar Mohd Iqbal, suspek telah menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit disyaki palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat.

Susulan daripada tangkapan tersebut, katanya, semalam, polis telah membuat satu lagi tangkapan terhadap seorang lagi lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki bersubahat dalam sindiket penghasilan permit kerja palsu didalangi warga asing itu.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek ketiga polis berjaya merampas sebuah telefon bimbit yang juga dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat.

Ketiga-tiga suspek berada di negara ini lebih tiga tahun dan terlibat dalam kegiatan haram berkenaan sejak OktoberĀ  lalu.

“Suspek ketiga bekerja sebagai buruh dan merupakan sudara kepada salah seorang daripada dua suspek dalam tangkapan pertama.

“Siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah menghasilkan dan menjual dokumen permit kerja palsu dengan harga serendah RM200 sekeping dengan cepat dan murah tanpa merujuk kepada Imigresen.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dalam kes berkenaan dan ketiga-tiga suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tegasnya.

Dua tangkapan pertama dibenarkan direman oleh Mahkamah Shah Alam selama empat hari sehingga 3 Disember ini manakala suspek ketiga akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah reman bagi siasatan lanjut melengkapkan kertas siasatan.-MalaysiaGazette