Ahmad Fadil Shamsuddin (kanan) dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  perkenan pelantikan 11 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu.

Semua mereka menerima pelantikan itu dalam satu istiadat penyerahan watikah di Istana Negara hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik itu ialah bakal Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau adalah graduan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan menyertai perkhidmatan awam pada 1995.

Sebelum pelantikan itu, Ahmad Fadil adalah Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara sejak 2019.

Sebelum bertugas di Istana Negara, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Qatar (2017-2019), Duta Besar Malaysia ke Republik Poland (2016-2017) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Canberra, Australia; Havana, Cuba; dan Santiago, Chile, selain pernah memegang jawatan Pegawai Khas kepada Menteri Luar Negeri di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala serta Bahagian OIC.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai – menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1995 dan pernah memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Sosialis Demokratik Sri Lanka sejak 2018.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai,  China dan pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Moscow, Persekutuan Rusia; dan Tashkent, Uzbekistan.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, Setiausaha Bahagian CLMV dan Oceania serta menjalankan tugas di Bahagian Asia Timur, Bahagian Pembangunan dan Bahagian Asia Tenggara.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Jerman, Dr. Adina Kamarudin memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1997.

Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim sejak tahun 2018.

Pengalamannya berkhidmat di luar negara termasuk penugasan sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Dublin, Ireland.

Di Kementerian Luar Negeri,  Adina pernah bertugas di Bahagian Inspektorat, Bahagian Ekonomi dan Bahagian Konsular, selain merupakan Profesor Adjung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Felo Penyelidik Utama Pelawat, Institut Oseanografi & Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Islam Pakistan,  Mohammad Azhar Mazlan merupakan graduan Southwest Texas State University di Amerika Syarikat dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1994.

Sebelum pelantikan ini, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah sejak tahun 2019.

Sepanjang karier diplomatik, Azhar pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico (2015-2018) dan Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina.

Beliau juga pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Rome, Itali dan Suva, Fiji.

Di Kementerian Luar Negeri pula,  Azhar pernah memegang jawatan Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Timbalan Ketua Pengarah di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik dan penempatan lain di Bahagian Asia Barat dan Afrika Utara serta Bahagian Afrika dan Selatan Sahara.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Kerajaan Hasyimiah Jordan, Mohamad Nasri Abdul Rahman merupakan Pegawai Tadbir dan Diplomatik lantikan tahun 1996.

Beliau yang berkelulusan Sarjana Sains Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum ini menyandang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea sejak 2018.

Pernah berkhidmat di beberapa pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Kunming dan di Republik Rakyat China; Pekanbaru, Indonesia; dan Amman, Jordan.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan ditempatkan di Jabatan Protokol dan Konsular, Bahagian Kewangan dan Akaun serta Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Ilham Tuah Illias merupakan graduan Hawaii Pacific University di Amerika Syarikat dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1998.

Sebelum pelantikan ini, beliau adalah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji sejak tahun 2018 dan pernah ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Pyongyang, Korea Utara; Pretoria, Afrika Selatan; dan Ottawa, Kanada.

Di Kementerian Luar Negeri pula, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Timbalan Ketua Protokol dan ditempatkan di Bahagian Afrika dan Selatan Sahara, Bahagian ASEAN dan Bahagian Pertubuhan Antarabangsa.

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 2001, yang mana sebelum ini berkhidmat sebagai Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Australia sejak tahun 2019.

Pemilik Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari Golden Gate University di Amerika Syarikat ini pernah bertugas sebagai Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dan di Bahagian OIC dan Kerjasama Serantau.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud menyertai perkhidmatan awam pada 2001 dan sebelum itu bertugas sebagai Timbalan Ketua Protokol.

Beliau pernah menjawat jawatan Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Australia dan di Suva, Fiji; Hanoi, Republik Sosialis Vietnam; dan Sana’a, Yemen.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, serta ditempatkan di Jabatan Penerangan dan Diplomasi Awam, Bahagian Afrika dan Selatan Sahara, dan Bahagian Asia Timur.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Senegal, Zainal Izran Zahari merupakan graduan Universiti Malaya (UM) dan menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2002.

Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria sejak tahun 2019.

Sepanjang karier diplomatik, Zainal Izran pernah bertugas di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Brussels, Belgium; Stockholm, Sweden; dan Port Moresby, Papua New Guinea.

Di Kementerian Luar Negeri, beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, dan ditempatkan di Bahagian CLMV dan Oceania, Bahagian Timur Tengah dan Asia Barat, serta Bahagian Perancangan Dasar.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Republik Kazakhstan, Mohd Adli Abdullah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 2002.

Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Konsular sejak tahun 2018 dan pernah memegang jawatan Konsul Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada; dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina.

Di peringkat Kementerian pula, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Politik Pelbagai Hala, Bahagian Eropah dan Asia Tenggara, serta Bahagian OIC.

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka, Badli Hisham Adam pernah berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Nur-Sultan, Kazakhstan sejak 2019.

Pernah juga ditugaskan di pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia sebelum ini sebagai Staf Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao serta di Republik Filipina; Ankara, Türkiye; dan Port Moresby, Papua New Guinea.

Di Kementerian Luar Negeri, Badli Hisham pernah ditugaskan di Jabatan Perancangan Dasar dan Strategik, Bahagian Eropah, Bahagian Pentadbiran dan Keselamatan, Bahagian Protokol, Bahagian Asia Barat, serta Bahagian Eropah Timur. – MalaysiaGazette