Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail . Foto HAZROL ZAINAL

ROMPIN – Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, bagi menjaga maruah parti dan rakan gabungannya Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi BN Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kemenangan BN bagi menawan kerusi itu juga, signifikan bagi menyeimbangkan kedudukan jumlah kerusi di DUN Pahang, dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat di negeri Pahang.

Berdasarkan keputusan PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak 17 kerusi manakala PH (8).

“Kita tak ada pilihan setakat hari ini kedudukan (sentimen pengundi) masih 50-50, tetapi saya dimaklumkan graf (sokongan kepada BN) masih meningkat.

“Sebabnya, yang pertama kita dengan PH ikhlas dan BN pun ikhlas demi untuk kita menubuhkan kerajaan, demi kestabilan negeri,” katanya ketika berucap di Program Santai Anak muda di sini semalam.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menyeru barisan jentera parti untuk lebih agresif bertemu seramai mungkin pengundi bagi meraih sokongan untuk menjamin kemenangan BN khususnya undi pengundi muda.

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung pada 7 Dis ini, selepas ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan saingan lima penjuru antara calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Bagaimanapun, Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini memaklumkan Mohd Fadzli memberi laluan kepada Mohd Johari, mengambil kira kerjasama antara BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang selepas PRU15.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast