KUALA LUMPUR – Gagal bukan satu pilihan bagi kerajaan baharu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi alasan utama kepada pembentukan kerajaan sekarang.
Menurut beliau, alasan-alasan lain sudah dijadikan perkara kedua dan titah itu juga menghalalkan apa yang sebelumnya kelihatan seperti tidak halal.
“Titah melupuskan semua yang lain. Demi negara nampaknya Seri Paduka tiada halangan memberi izin alasan itu digunakan.
“Oleh kerana Seri Paduka sudah terlibat atau dilibatkan maka kerajaan ini sama sekali tidak boleh gagal. Kata-kata lumrah menyebut gagal bukan satu pilihan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan Perpaduan yang diketuai Anwar menyaksikan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Nordin turut meminta kerajaan baharu ini berjanji untuk bekerja kuat dengan cara yang yang bersih dan suci.
“Bahawa apabila berjaya nanti kejayaan itu dikembali kepada asal puncanya namun jika gagal jangan sesekali memberi alasan kerajaan ini gagal kerana dia adalah kerajaan kehendak Seri Paduka, bukan kehendak kami.
“Kami semua hanya mampu berdoa kerana kejayaan itu baik bagi kami dan kegagalan akan meletakkan kami dalam sengsara,” katanya. – MalaysiaGazette