Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-47 meningkat sebanyak 8.9 peratus iaitu 1,734 kes berbanding 1,593 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 56,304 kes berbanding 23,547 bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 139.1 peratus manakala sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 54 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 61 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 25 lokaliti hotspot berada di Selangor, 19 di Sabah, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak dan satu di Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata survelan chikungunya merekodkan sebanyak 18 kes pada ME ke-47 dengan 11 kes dari Pulau Pinang, Selangor (empat) dan masing-masing satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 710 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,939 sampel darah dan 17 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata taman rekreasi dan taman permainan masih berisiko menjadi tempat punca jangkitan demam denggi kerana mempunyai sampah serta bekas-bekas terbiar yang dibuang di persekitaran.

Katanya amalan membuang bekas-bekas terpakai merata-rata termasuk di tanah lot kosong boleh mengancam kesihatan melalui jangkitan seperti demam denggi dan chikungunya serta mengganggu kelestarian alam sekitar.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata setiap isi rumah perlu memupuk budaya memelihara kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata sejak dari kecil agar menjadi kebiasaan ketika usia dewasa.

Beliau berkata individu yang melakukan riadah di taman-taman rekreasi perlu menggunakan perlindungan diri seperti memakai repelan pada kulit apabila melakukan riadah terutama pada waktu puncak gigitan nyamuk iaitu antara pukul 5 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7 malam.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast