KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengucapkan selamat maju jaya kepada pemimpin dan ahli yang meninggalkan parti itu.
Mohamad berkata, parti pimpinannya utu menghargai segala jasa dan sumbangan serta pengorbanan mereka terhadap Amanah.
Beliau mengulas tindakan pemimpin dan ahli Amanah di Kedah yang bertindak keluar daripada parti berikutan pemecatan bekas Pengerusi Amanah di negeri itu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada beberapa pimpinan dan ahli Amanah Kedah yang keluar dari parti kerana tidak berpuas hati dengan tindakan memecat bekas Pengerusi Amanah negeri itu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.
“Segala jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka kepada Amanah akan tetap dikenang dan dihargai,” kata Mohamad dalam kenyataan.
Beliau menegaskan, Amanah akan tetap bergerak ke hadapan walaupun menghadapi pelbagai ujian dan rintangan.
Menurutnya, parti itu akan meneruskan usaha selaras dengan cita-cita yang tergaris dalam perlembagaannya.
Mohamad yakin dan percaya ahli Amanah Kedah yang terus setia dengan perjuangan akan membawa parti tersebut ke aras yang lebih tinggi.
“Dalam mana-mana parti sekali pun, jatuh dan bangun adalah perkara biasa walaupun ada ahli-ahlinya yang bertindak meninggalkan parti atas alasan masing-masing.
“PKR umpamanya, pernah tinggal hanya satu kerusi sahaja selepas pilihan raya umum 2004. Terlalu ramai yang meninggalkan parti itu termasuk pemimpin-pemimpinnya di pelbagai peringkat.
“Namun, perjuangan tetap diteruskan oleh mereka yang setia dan hari ini presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Phahrolrazi mendakwa seramai 206 ahli termasuk pimpinan negeri sudah meninggalkan parti itu sejak 29 November lalu.
Antaranya termasuk Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa dan timbalannya, Jamil Che Dan selain Ketua Pemuda Negeri, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepemimpinan Pemuda Amanah negeri.
Phahrolrazi berkata, tindakan 206 ahli dan pemimpin itu susulan pendirian pucuk pimpinan Amanah yang tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat dihantar 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah pada awal November lalu.
Katanya, surat terbabit berhubung permintaan untuk menerima semula beliau sebagai ahli sekali gus memegang kembali jawatan sebagai teraju Amanah Kedah.
“Sebelum ini pun saya pernah katakan bahawa tindakan memecat saya daripada parti akan memberi kesan.
“Justeru, selepas pilihan raya Parlimen Padang Serai kita jangka ada lagi ahli yang akan meninggalkan AMANAH bukan hanya di Kedah tetapi juga di negeri yang memiliki ramai keahlian Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) seperti Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Selangor,” katanya.
Phahrolrazi dipecat daripada Amanah berikutan tindakannya membantah keputusan kepemimpinan Pusat yang memberi laluan kepada DAP untuk bertanding di kerusi Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum ke-15.-MalaysiaGazette