KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Tanah runtuh pada anggaran ketinggian 30 meter (m) berlaku di kawasan perumahan di Taman Mega Jaya, Ampang, di sini hari ini dipercayai akibat kebocoran paip air bawah tanah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.48 petang tadi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan tiba di lokasi 12 minit kemudian.
“Bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau struktur rumah. Rumah yang paling hampir dengan lokasi runtuhan adalah kira-kira 20m,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya ketika ini, pemantauan masih diteruskan pihak bomba dan kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan Indah Water Konsortium. – BERNAMA