MELAKA – Seorang penganggur lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu pada bulan lalu.
Tertuduh, Lau Siong Poh, 50, mengangguk tanda faham sejurus pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siong Poh didapati mengedar dadah jenis syabu dengan berat kasar 23,188 gram yang disenaraikan dalam di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Baiduri 8, Pulau Melaka, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.10 tengah malam 11 November lalu
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 16 Januari tahun depan bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 22 November lalu, MalaysiaGazette melaporkan Polis Kontinjen Melaka menumpaskan satu sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Pulau Melaka dekat Melaka Raya di sini sebagai laluan baharu mengedar syabu ke luar negara.
Ia susulan tertangkapnya lelaki dipercayai ahli sindiket itu oleh sepasukan 18 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6, Johor kira-kira jam 12.10 pagi.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan sebuah kereta di tepi jalan dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dan merampas dadah syabu seberat 23.1 kilogram dianggarkan bernilai RM834,768.
Semua dadah itu dijumpai dalam bentuk 22 bungkusan berwarna kuning yang disimpan di dalam tiga beg galas berasingan dibawa lelaki berkenaan yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’. – MalaysiaGazette.