Datuk Seri Mohd Johari Hussain

ROMPIN – Pengundi di sini sudah mula menerima kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas pembentukan kerajaan peringkat Persekutuan dan di Pahang.

Calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, rata-rata pengundi di sini  sudah faham dan  dapat menerima keputusan BN berkerjasama dengan PH.

Jelasnya, keputusan bagi membentuk kerajaan sama ada peringkat persekutuan dan negeri semakin positif selepas penjelasan berterusan oleh pucuk pimpinan dan beliau sendiri di Rompin.

“Isu kerjasama BN dan PH itu sudah kurang ditimbulkan dan proses penerangan berhubung isu itu akan diteruskan dalam tempoh kempen PRU15 DUN Tioman yang berbaki beberapa hari lagi.

“Kita akui ramai yang tersentak dengan keputusan ini pada awalnya  tetapi melalui penjelasan berterusan tentang situasi sebenar kerjasama ini, alhamdulillah, rakyat sudah dapat menerimanya,” katanya.

Johari yang penyandang kerusi DUN Tioman selama tiga penggal berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, PH dan BN kini bersepakat mengadakan gerak kerja kempen bersama.

Menerusi kerjasama itu, ia dapat memupuk persefahaman  sekali gus memberi impak agar dapat membantu kemenangan BN.

“Pada saat-saat akhir kempen kini perlu agresif dengan  strategi  lebih berkesan termasuk menyantuni pengundi melalui sentuhan peribadi untuk menarik sokongan pengundi walaupun tidak berskala besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast