Lans Koperal Mohd Jamilul Ikram Jasmi (kiri) bersama Lans Koperal Mohd Shafiq Akram Anuar (kanan) menunjukkan kesan dakwat pada jari kelingking selepas undi awal di IPD Rompin, Pahang hari ini.

ROMPIN – Belum hilang ‘inai’ di jari telunjuk kini anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Rompin antara pengundi awal yang teruja mencelup jari kelingking kiri pula.

Itu antara sejarah yang akan dikenang oleh mereka apabila sekali lagi mengundi hari ini walaupun telah berbuat demikian pada 15 November lalu.

Dulu mereka mengundi untuk calon Parimen Rompin dan kali ini untuk calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pula.

Tinjauan MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin hari ini mendapati rata-rata anggota polis teruja dan menyifatkan situasi mengundi kali kedua begitu istimewa dan sukar dilupakan.

Lans Koperal Mohd Jamilul Ikram Jasmi, 32, menganggap Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU15) satu kelainan baginya dan rakan-rakan dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Rompin.

Katanya, baginya situasi itu bukan satu masalah kerana ia berlaku di luar jangkaan di mana hanya IPD Rompin di daerah dalam negeri Pahang yang mengundi dua kali.

“Dalam Pahang, kanya kami petugas di IPD Rompin yang mengundi dua kali. Belum hilang habis dakwat mengundi hari itu pada jari telunjuk, hari ini celup jari kelingking pula.

Lans Koperal Mohd Shafiq Akram Anuar, 28, pula menganggap mengundi awal dua kali satu pengalaman baharu baginya kerana jarang berlaku.

Menurutnya, keadaan itu juga satu kejutan memandangkan beliau dan rakan sepasukan telah menunaikan tanggungjawab yang sama pada undi awal 15 November lalu.

“Pada hari mengundi 19 November lalu, saya dapat tahu PRU15 DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian salah seorang calon bertanding dan kena mengundi semula pada 3 Disember ini (hari ini).

“Walaupun terpaksa mengundi dua kali, saya dan rakan-rakan tetap bersemangat malah menganggap ia sesuatu yang istimewa dan jarang berlaku,” katanya.

Mohd Salleh Sulaiman

Sementara itu, Mohd Salleh Sulaiman, 58, yang mengakui pertama kali melalui situasi itu sepanjang berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebagai pengundi, kita tetap perlu tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan kami telah melaluinya, ia jadi sejarah sepanjang saya berkihdmat dalam PDRM,” katanya sambil menunjukkan jari kelingkingnya yang dicelup dakwat.

Hari ini seramai 243 anggota dan pegawai polis membuang undi di dua lokasi melibatkan Bilik Rehat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin dibuka 8 pagi hingga 5 petang dan pusat mengundi di di Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau yang dibuka pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

PRU15 di DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lepas akibat serangan jantung.

PRU15 bagi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandangnya, Datuk Seri Johari Hussain yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan ditentang Nor Idayu Hashim (PN), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast