ROMPIN – Berbaki lagi empat hari, Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim berharap dapat menemui pengundi secara bersemuka seramai mungkin.
Menurut beliau, sehingga kini secara keseluruhanya, hampir 70 peratus pengundi DUN Tioman telah ditemuinya sebagai calon dan petugas jentera parti.
“Jadi tempoh kempen yang berbaki beberapa hari lagi akan digunakan sepenuhnya untuk turun ke lokaliti bagi menemui seramai mungkin pengundi terutama kumpulan sasar.
“Kami akan gunakan peluang pada saat akhir ini dengan melipatgandakan aktiviti bagi menarik seramai mungkin pengundi kepada PN,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Rompin ketika membuat tinjauan hari undi awal hari ini.
Ibu anak tiga itu mengakui bantuan dari pimpinan dan jentera parti dari luar banyak membantunya dalam aktiviti kempen menjelang saat-saat akhir.
“Walau pun jadual aktiviti kempen padat setiap hari tapi kita kena terus bersemangat lagi-lagi bila dapat maklum balas pengundi yang begitu positif,” katanya.
Sementara itu, calon bebas Sulaiman Bakar, 60, juga mula terasa bahang persaingat sengit pertembungan lima penjuru di DUN Tioman kali ini.
Pesara guru dan anak kelahiran Melaka itu telah menetap selama 34 tahun di bumi Pahang bersama keluarganya.
“Saya sangat mengharapkan sokongan pengundi memberi peluang kepada calon bebas pula. Berilah sokongan demi perubahan daerah ini,” katanya yang menggunakan logo udang pada kertas undi.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandangnya, Datuk Seri Johari Hussain (BN) Nor Idayu Hashim (PN), Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (PH), Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas) – MalaysiaGazette