Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Penduduk PUJ 2, Taman Puncak Jalil dekat sini kecewa dengan kegagalan kerajaan Selangor menangani masalah tapak pelupusan sampah haram di Seri Kembangan.

Pengerusinya, Harnarain Singh Gill berkata, sebaliknya kerajaan negeri memberi alasan halangan secara fizikal dan provokasi pihak tertentu antara masalah yang dihadapi dalam usaha membasmi pembuangan sampah haram.

Katanya, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han sepatutnya ada resolusi menangani masalah itu bukan jadikan gangster itu sebagai alasan.

“Apabila baca kenyataan Exco mengenai masalah dihadapi kerajaan negeri, saya bagi pihak penduduk PUJ 2 Taman Puncak Jalil khususnya serta seluruh penduduk Taman Puncak Jalil amnya ingin menyatakan rasa sedih dan hampa.

“Walaupun tapak pelupusan sampah haram ini terletak di kawasan DUN Seri Kembangan tetapi pencemaran udara dan bau busuk tersebar jauh hingga ke kawasan di DUN Kinrara.

“Exco yang juga ADUN Kinrara ini mungkin tidak tahu masalah dihadapi penduduk dan pengundi di kawasan beliau sejak beberapa bulan lalu menghidu bau busuk sampah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sze Han dilaporkan berkata, selain kumpulan gangster, kewujudan tonto di sekitar tapak sampah haram juga menyukarkan usaha kerajaan negeri.

Katanya, PBT hadapi kekangan untuk mengambil tindakan kerana peruntukan undang-undang kecil sedia ada terhad dan tertakluk kepada pembuangan sampah, tidak termasuk kepada operator yang menguruskan tapak sampah haram.

Mengulas lanjut Harnarain menegaskan, bau busuk cecair pelarut resapan (leachate) dari tapak pelupusan sampah haram itu menyebab ada penduduk tidak dapat bernafas.

“Persatuan menerima aduan setiap malam dari penduduk yang mengadu tidak boleh bernafas, tidak boleh tidur sepanjang malam dan ada juga yang terpaksa berpindah sementara kerana tidak tahan dengan keadaan pencemaran udara.

“Kita sudah membawa perkara ini untuk perhatian Sze Han dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bulan lepas, tetapi masih tiada tindakan diambil.

“Awal minggu ini, kita bersama Persatuan Penduduk Emerald Heights PUJ 9 menghantar surat aduan rasmi kepada Menteri Besar Selangor dengan harapan ada tindakan diambil,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan, jika wujud kumpulan gangster dan tonto, kenapa kerajaan negeri tidak mengambil langkah bersepadu bersama polis dan pihak berkuasa lain.

Katanya, setakat ini alasan diberikan Exco itu kenapa tidak boleh tangani masalah tapak sampah haram sangat tidak masuk akal.

“Kerajaan negeri berdepan masalah gangster dan tonto, tetapi tidak fikir masalah besar dihadapi penduduk yang berdepan dengan kesihatan kronik kerana menghidu bahan kimia.

“Kami khuatir jika masalah bau ini berterusan ia akan mula menjejaskan kesihatan anak-anak, orang tua dan diri kami sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette