simpanan KWSP
Gambar hiasan.

SEMEMANGNYA simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk kegunaan hari tua tetapi banyak juga majikan yang culas mencarum terhadap pekerja mereka.

Inilah hakikat yang begitu pahit untuk kita telan.

Kerajaan Perpaduan Nasional pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus mengarahkan KWSP bertindak tegas terhadap majikan yang culas mencarum terhadap majikan mereka.

Banyak juga majikan yang memberi penyataan palsu secara lisan atau bertulis serta memotong caruman syer pekerja daripada gaji pekerja sedangkan tidak membayar kepada KWSP.

Menurut Bank Dunia, Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang semakin menua (aging population) apabila 7% daripada rakyat negara ini berumur 65 tahun dan ke atas.

Menjelang 2056 peratusan tersebut dijangka bakal mencecah 20% daripada keseluruhan populasi.

Biar pun pelbagai bantuan dan insentif kewangan disalurkan kerajaan sejak tahun 2020 melalui pakej rangsangan dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memberi ruang untuk mereka kembali ‘bernafas’ akibat pandemik Covid-19, begitu banyak sekali ‘majikan kayangan’ yang terus memberi alasan tempang dan mengambil kesempatan.

Kerajaan juga telah memberi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan menambah peruntukkan dana untuk PKS dan usahawan mikro.

Malah, pusat-pusat latihan kemahiran swasta, sebagai contoh kolej penyenggaraan pesawat, latihan kemahiran keselamatan siber, keselamatan pastri, pentadbiran dan pengurusan pejabat diberi geran program latihan kemahiran dan kerjaya HRD Corp dan PTPK bernilai jutaan ringgit.

 KWSP juga melancarkan dua inisiatif baharu untuk majikan bagi meringankan pengurusan aliran kewangan ketika tempoh pandemik sekaligus membolehkan pelanksanaan tanggungjawab statutori ke atas pekerja antaranya  pengecualian caj lewat bayar caruman serta Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR).

Namun masih juga terdapat ramai pengarah-pengarah syarikat tahap “kayangan” yang degil dan angkuh serta mengambil sikap pilih kasih ataupun melakukan amalan diskriminasi terhadap pekerja mereka sendiri.

Setiap pekerja berhak mendapatkan caruman KWSP. Majikan wajib membuat bayaran caruman KWSP mengikut kadar semasa yang telah dinyatakan di dalam Akta KWSP 1991 dan Peraturan dan Kaedah KWSP 1991.

Majikan yang didapati gagal membuat caruman pada atau sebelum 15 hb wajib didakwa dan dikenakan penalti.

Di bawah seksyen 48 (3), memotong caruman syer pekerja daripada gaji pekerja dan gagal membayar kepada KWSP, majikan boleh dikenakan penjara tidak lebih 6 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 46 (1) pula memberi kuasa kepada KWSP untuk failkan tuntutan di mahkamah dan tindakan kebankrapan, penyitaan dan penjualan aset. Lembaga KWSP boleh memohon kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mana-mana pengarah syarikat/perkongsian firma/pemilik perniagaan dari keluar Negara jika syarikat / firma berkenaan gagal membayar caruman seperti mana yang ditetapkan.

KWSP harus mengemukakan nama pengarah syarikat kepada Jabatan imigresen untuk menghalang mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman KWSP sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39  Akta KWSP 1991.

Ahli KWSP juga dinasihatkan supaya senantiasa menyemak akaun KWSP bagi memastikan caruman KWSP dan sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam akaun itu mereka perlu melaporkan segera kepada mana-mana pejabat KWSP terdekat.

 Masih ramai juga belum mengetahui bahawa seseorang individu yang bekerja sendiri juga boleh mencarum dalam KWSP.

Mereka yang bekerja sendiri seperti artis, wartawan bebas, peniaga termasuk dalam talian yang menggunakan media sosial sebagai medium pemasaran seharusnya mempunyai simpanan lebih terjamin untuk masa depan.- MalaysiaGazette

M Vivekananthan

M Vivekananthan

Setiausaha Sulit kepada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast