Foto: The Royal Johor

JOHOR BAHRU – Motif tumbuhan gambir dan lada yang diabadikan dalam beberapa lambang Diraja Johor dan Jata, akan dipatenkan sebagai hak salinan eksklusif Johor.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli menerusi hantaran di Facebook The Royal Johor berkata, ia bertujuan untuk mengiktiraf serta mengekalkan peranannya dalam kemajuan ekonomi dan pembangunan Johor.

“Paten itu akan diserapkan di dalam Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan motif berkenaan.

“Gambir dan lada adalah sinonim dengan perkembangan sosioekonomi awal Johor,” kata Abdul Rahim pada majlis pelancaran buku ‘Perkembangan Penanaman Gambir Di Johor’ terbitan Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru hari ini.

Hantaran tersebut turut memaklumkan buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Cina itu mengisahkan pengenalan dua komoditi tersebut di Johor sejak pemerintahan Temenggong Daing Ibrahim pada 1885.

Selain itu, buku berkenaan turut memaparkan peranan penting yang dimainkan oleh masyarakat Cina dalam meletakkan Johor sebagai peneraju dunia dalam pengeluaran gambir dan lada. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast