Lee Ting Han

ISKANDAR PUTERI – Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Johor Bahru-Pontian, dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Lee Ting Han berkata, projek pembinaan jambatan baharu dengan kos RM700 juta itu akan merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi Pontian.

Ini kerana lokasi jambatan itu berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), katanya.

“Jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu akan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari satu jam kepada 15 minit sahaja.

“Ini secara langsung akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan  lagi pendapatan serta taraf hidup warga setempat berikutan waktu perjalanan kini menjadi lebih pendek.

“Jambatan Sungai Pulai itu yang akan menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin di Kukup, Pontian itu juga adalah antara satu daripada usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam memangkin pembangunan sosio-ekonomi di Pontian supaya lebih membangun setara dengan kawasan bandar,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,  hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menarik pelaburan dan pembangunan yang akan dilakukan apabila jambatan baharu itu siap.

Tian Han berkata, apabila Jambatan Sungai Pulai itu siap ia bukan sahaja dalam memendekkan masa perjalanan tetapi juga mampu meningkatkan ekonomi penduduk di negeri itu.

“Pelan Mampan Johor 2030, Daerah Pontian di mana terletaknya DUN Kukup juga telah pun digazetkan sebagai zon bagi ekopelancongan.

“Ia turut disenaraikan sebagai kawasan bagi aktiviti perikanan dan maritim, pembuatan ringan, pemprosesan makanan dan bahan pembinaan,” ujarnya.

“Oleh itu, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan mengikut pelan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan pelaburan baru di semua wilayah di negeri Johor dan ianya termasuklah di DUN Kukup.

“Kerajaan negeri menerusi Invest Johor sentiasa menggembleng usaha bagi menarik pelaburan baru samada dari dalam mahupun luar negara untuk dimanfaatkan oleh seluruh warga dan wilayah di negeri ini termasuk DUN Kukup di Pontian,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast