1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu rakaman audio bagi menyangkal pembelaan Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa wang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri itu adalah sumbangan.

Kata Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram,  rakaman audio itu yang didakwa perbualan antara mantan Ahli Parlimen Pekan itu dengan seorang pemimpin Asia Barat adalah amat relevan bagi menyangkal pembelaan tertuduh.

Ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, Sri Ram hari ini mendakwa ramai pesalah rasuah sebenarnya akan berjaya melepaskan diri seandainya pendakwaan terpaksa membuktikan setiap dokumen mengikut peruntukan ketat yang terkandung dalam Akta Keterangan 1950.

Hujah beliau, tindakan pendakwaan untuk mendakwa pesalah mengikut peruntukan itu mungkin terhalang terutama di zaman moden ini apabila transaksi membabitkan jutaan ringgit boleh dilakukan sekelip mata secara elektronik.

“Dalam kes 1MDB yang sedang di hadapi oleh Najib sebenarnya membabitkan jutaan wang tunai bertukar milik secara rahsia. Kerana itu juga Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah untuk mengelakkan akibat ini.

“Ini diperkenalkan bagi menggantikan Bab V Akta Keterangan 1950,” hujahnya hari ini dalam permohonan pendakwaan supaya rakaman audio perbualan di antara Najib dengan seseorang yang dipanggil Yang Mulia (Your Highness) dikatakan kerabat diraja Arab, diterima masuk sebagai bukti dalam kes 1MDB.

Sebelum ini, rakaman itu telah dimainkan dalam mahkamah ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah memberi keterangan dan mengenal pasti suara berkenaan kedengaran seperti Najib.

Dalam rakaman itu,  ada perbualan mengenai keperluan menyelesaikan kebuntuan berhubung isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang didakwa memalukan Malaysia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, sebelum ini, pembelaan sudah menolak permohonan rakaman diterima masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula membantah permohonan untuk mengemukakan rakaman audio dan transkrip itu sebagai bukti pada perbicaraan berkenaan.

Beliau membuat bantahan atas alasan ia dirakam secara haram, justeru tidak boleh digunakan di mahkamah selain menegaskan, ia adalah perbualan antara dua pemimpin negara.

Perbicaraan 1MDB yang sepatutnya bersambung petang ini terpaksa ditunda sehingga pukul 11 pagi esok kerana Muhammad Shafee tidak berapa sihat.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast