anwar zahid
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang timbalannya.

Beliau berkata, Ahmad Zahid masih berdepan pendakwaan di mahkamah dan hukuman belum dijatuhkan terhadapnya.

Anwar menambah, proses melibatkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu harus dihormati oleh semua pihak.

“Itu adalah hak mereka untuk pertikaikan tetapi alasan yang pertikaikan itu siapa dan alasan apa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Ketika ini, Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menempelak pihak tertentu yang melaungkan tentang isu rasuah sedangkan mereka juga dikatakan ‘tidak bersih’.

“Dia tidak boleh jerit rasuah tetapi dia ambil projek ratusan juta. Tidak boleh.

“Sebab itu saya bila dicabar dulu semasa kempen, sama-sama kita isytihar, saya sanggup isytihar harta dalam dan luar negeri.

“Saya nak juga ketua-ketua Perikatan Nasional (PN) isytihar harta di dalam negara dan di Australia dan beberapa negara lain, tidak ada jawapan,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar memberi tempoh sebulan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menangani isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Beliau memberitahu, antara perkara yang dibangkitkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg adalah mengenai peraturan-peraturan sedia ada yang menyulitkan pelaksanaan di peringkat negeri ekoran proses kelulusan yang melibatkan banyak jabatan dan kementerian.

“Hal ini saya percaya akan dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk kita dapat laksanakan segera kerana kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sebab itu saya beri tempoh dalam satu bulan ada kemajuan yang ketara dalam menangani hal tersebut,” katanya.

Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyelaraskan usaha menangani kesenjangan pembangunan kawasan luar bandar bersama Ahmad Zahid (Semenanjung) dan Fadillah (Sabah dan Sarawak).

Anwar juga mengumumkan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menangani Bencana Kebangsaan serta meminta beliau mengambil langkah-langkah segera untuk memantau dan membuat persiapan menghadapi musim banjir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dalam satu video ANWAR MUNAFIK.pru15…hj hadi dengan serban jubah ustaz FITNAH saya akan berkerjasama dgn Zahid dan UMNO…..Bla bla bla
    begitujuga dengan Timb Rafizi Saya orang pertama akan tentang kerjasama ini

    dengan senget2 muka ZAHID MUNAFIK bersumpah dengan KALIMAH2 ALLAH DI PAU dan mesyuarat MT saya tegaskan NO ANWAR NO DAPIGS

    INI BUKAN FITNAH INI REALITI….TUNGGULAH MASA MEREKA AKAN DIMAKAN SUMPAH DAN MUNAFIKNYA

Comments are closed.