Anwar Syed Mokhtar
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara ini.

Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak akan mengizinkan lagi pembolotan kekayaan oleh tokoh-tokoh politik yang dengan begitu mudah menghisap darah pesawah yang miskin.

“Dan sekarang umpamanya kita tidak boleh bebankan seorang Syed Mokhtar sehingga kita dapat teliti keberuntungan dia dan sama ada pulangan itu berpatutan.

“Oleh tetapi saya telah gesa beliau buat sesuatu segera maka beliau peruntukkan sekarang bulan ini juga RM10 juta kepada petani dan pesawah miskin dan mulai tahun depan RM50 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, untuk berlaku adil, kebenaran mengimport beras yang diberikan oleh kerajaan kepada Syed Mokhtar bukan dalam bentuk konsesi kepada beliau secara individu.

Sebaliknya, menurut beliau, ia dianugerahkan kepada Bernas yang ketika itu dimiliki oleh Tan Sri Tan Boon Seng dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Syed Mokhtar telah membeli syarikat ini 31 peratus daripada Boon Seng sekitar RM800 juta dan syarikat yang dipunyai Shahidan RM400 juta,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengumumkan harga telur pada kadar yang lebih rendah esok.

Beliau menambah, beberapa langkah turut diambil termasuk mengurangkan kebergantungan kepada kartel.

“Jadi kita harap jumlah pengedaran telur dalam pasaran cukup dan harganya itu diberitahu tadi akan dikurangkan,” katanya.

Anwar turut mengumumkan, menteri-menteri Kabinet bersetuju supaya gaji mereka dipotong 20 peratus setiap bulan sebagai tanda prihatin terhadap masalah rakyat.

Beliau berkata, pemotongan itu akan dilakukan sehingga ekonomi negara kembali pulih.

“Saya berterima kasih atas kesediaan mereka melakukan sedikit pengorbanan,” katanya.

Anwar juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.

“Ada orang kata Anwar patutlah dia tidak ambil gaji PM, dia ambil gaji Menteri Kewangan. Tak betul, gaji ini satu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum Parlimen dibubarkan dahulu akan diteliti semula.

Menurut beliau, sebahagian besar perkara yang terkandung dalam bajet tersebut boleh diterima namun Kabinet dan Kementerian Kewangan diberi ruang untuk memberi pandangan mengenai sebarang penambahbaikan.

Anwar berkata, pentadbirannya juga bersedia meneruskan program dan undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya bermanfaat untuk rakyat dan negara. – MalaysiaGazette