Menteri Luar Negeri, Senator Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Parti-parti yang bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan akan menandatangani ‘Perjanjian Gabungan’ tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, beberapa siri perbincangan telah dilakukan oleh kesemua kepimpinan parti untuk menghasilkan perjanjian berkenaan.

“Kita telah mengadakan perbincangan tentang apa yang dipanggil sebagai ‘Perjanjian Gabungan’ dalam kalangan parti.

“Ini akan ditandatangani sedikit masa lagi apabila semua pihak yang terbabit telah dapat mendalami perkara-perkara yang telah dicatatkan.

“Kita mengharapkan segalanya akan disempurnakan dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Zambry yang dilantik sebagai Menteri Luar Negeri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dan amanat kepada kakitangan kementerian itu hari ini.

Menurut beliau, isi perjanjian akan dimaklumkan apabila majlis menandatangani yang melibatkan kesemua parti disempurnakan.

Zambry berkata, dengan termeterainya ‘Perjanjian Gabungan’ itu akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tentu ia akan membawa keyakinan (kepada rakyat) kerana apa yang penting bagaimana kita hendak menghasilkan perjanjian ini untuk semua parti bersama.

“Ini sangat penting. Kalau tidak kita kita tidak akan ada gabungan seperti ini. “Kita harus menjaga semua parti dalam Kerajaan Perpaduan ini,” kata Zambry.

Menurutnya, perjanjian tersebut kini dalam draf akhir penyediaan.

Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), BN dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr. Asyraf Wajdi mendedahkan terdapat beberapa syarat utama yang diberikan BN kepada PH untuk bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang kini berjaya dibentuk.

Menurutnya, syarat kerjasama itu disepakati dalam Dokumen Perjanjian Kerjasama Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang akan disiarkan untuk tatapan umum selepas barisan Kabinet diumumkan.

Beliau berkata, antara perkara asas penting yang menjadi intipati dan disepakati dalam dokumen berkenaan yang menjadi syarat utama BN kepada PH ialah mengenai Islam, kepentingan Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. -MalaysiaGazette