Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) menerima nota serah tugas daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sambil diiringi Ketua Setiausaha KPDNKSH, Datuk Azman Mohd Yusof (kiri) pada majlis pertukaran nota tersebut di KPDNKSH, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap akan ada penyelesaian isu kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.

Beliau yang memulakan tugas sebagai Menteri KPDNKSH hari ini berjanji akan berusaha menggembleng seluruh sumber kepakaran yang ada bagi menjayakan harapan rakyat dan gagasan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kementerian saya akan menjalin kerjasama strategik dengan kementerian lain yang berkaitan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Keselamatan Makanan.

“Kementerian ini bertanggungjawab dalam pengeluaran makanan bagi mengoptimumkan pengeluaran dan meminimumkan kos pengeluaran,” katanya dalam sidang media selepas majlis Serah Tugas dengan bekas menteri terdahulu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Alexander Nanta ditukarkan ke Kementerian Kerja Raya bawah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 24 November lalu.

Mengenai isu ketiadaan bekalan telur di pasaran, Salahuddin mengakui masalah itu menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Namun, saya sedar, proses pengeluaran telur ayam mengambil masa enam bulan dari seekor anak sehingga menjadi ayam yang bertelur.

“Ayam ini berbeza dengan ayam pedaging yang hanya mengambil masa 35 hingga 42 hari untuk matang.

“Saya yakin, kepakaran dalam negara yang melibatkan agensi kerajaan dan pemain industri berupaya mencipta inovasi baharu bagi menyelesaikan isu telur ayam,” katanya.

Menurut beliau, antara penyelesaian yang sedang dalam penelitiannya ialah harga dan tempoh kawalannya, subsidi dan kaedah serta kecepatan penyalurannya, pengeksportan hasil pengeluaran negara dan kos produksi seperti harga input ternakan haiwan.

Ujarnya, Malaysia adalah pengeluar telur ayam terbesar di rantau ini iaitu sekitar 113 peratus lebih daripada keperluan dalam negara yang menggunakan kira-kira 30 juta biji telur sehari.

Lebihan pengeluaran itu, kata beliau, mengupayakan negara mengeksport telur ke Singapura.

“Saya akan berusaha untuk memastikan tidak berlaku umpama peribahasa Melayu, Laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan atau anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran,” katanya.

Justeru, Salahuddin akan mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha dan pasukan kementerian itu untuk membentangkan kepada Perdana Menteri langkah penyelesaian terhadap isu berkenaan. – MalaysiaGazette