Abdul Halim Alias, membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas dibacakan jurubahasa Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Bekas Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima wang berjumlah RM6,000 sebagai dorongan membantu sebuah premis hiburan yang melanggar larangan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Sub-Inspektor  telah mendapatkan untuknya sesuatu benda berharga iaitu wang tunai sebanyak RM6,000 tanpa balasan daripada Hang Kah Joon yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dengannya.

Kesalahan dilakukan pada 11 Ogos 2020 di pejabatnya di dalam Balai Polis Tengkera, di dalam Daerah Melaka Tengah.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua lagi anggota polis ketika sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Kota Shahbandar telah memeriksa premis Restoran The Stage Music Lounge Plt yang ketika itu sedang mengadakan majlis perasmian pembukaan.

Tertuduh dan anggotanya kemudiannya didatangi oleh Ng Kim Yun merupakan salah satu rakan kongsi perniagaan premis tersebut sebelum tertuduh memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Balai Polis Tengkera.

Kim Yun kemudian dimaklumkan oleh tertuduh premis itu telah melanggari tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika PKP yang berkuatkuasa pada masa itu termasuk mengadakan persembahan liveband’.

Seorang lagi rakan kongsi perniagaan premis tersebut, Hang Kah Joon kemudiannya berjumpa tertuduh untuk memberi penjelasan selain meminta maaf namun tertuduh telah memaklumkan pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berhubung pelanggaran SOP PKP.

Tertuduh kemudiannya telah meminta daripada mereka wang berjumlah RM6,000 sebagai balasan bagi bantuannya sebelum Kah Joon dan Kim Yun menyerahkan wang berkenaan kepada tertuduh di pejabatnya pada 11 Ogos 2020.

Abdul Halim kemudiannya telah ditangkap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari yang sama.

Tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum tanpa penjara kerana telah menyesal atas kesalahan pertama dilakukannya selama 41 tahun berkhidmat dalam PDRM selain akan bersara tidak lama lagi.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah bagaimanapun meminta hukuman setimpal
mengambil kira kepentingan awam selain kedudukan tertuduh sebagai ketua balai polis yang sepatutnya menjadi contoh kepada anggotanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar selain bersetuju pertuduhan lain digugurkan atau diambil kira selepas dipohon pihak pendakwaan susulan pengakuan tertuduh. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast