Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan bertindak untuk tidak meneruskan kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion oleh kerajaan terdahulu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Kewangan sudah mengarahkan kelulusan projek itu tidak diteruskan kerana membabitkan kelulusan secara rundingan terus sebelum ini.

“Kita akan meneliti semula beberapa kelulusan lama yang baik kita akan teruskan tapi tentu dengan pendekatan baharu. Soal kemiskinan, soal kesenjangan dan soal langkah-langkah utama untuk memacu pembangunan ekonomi.

“Saya juga tekankan beberapa kelulusan mutakhir termasuk kelulusan tebatan banjir yang peruntukannya sekitar RM15 bilion dan RM7 bilion sudah diluluskan tanpa proses tender secara teratur melalui rundingan terus.

“Saya telah minta fail itu tidak diteruskan, diteliti semula supaya ada prinsip ketelusan dan juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau sebelum itu memulakan tugasnya selaku Menteri Kewangan hari ini dengan mengetik kad perakam waktu di kementerian itu pukul 7.57 pagi tadi.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi, tindakan untuk tidak meneruskan projek itu juga kerana ia membabitkan jumlah peruntukan yang bukan kecil.

Malah Anwar juga menjelaskan, keputusan meluluskannya secara rundingan terus itu dibuat dengan alasan kononnya untuk menyelesaikan masalah tebatan banjir.

“Jumlah ini bukan kecil atas alasan umpamanya membantu menyegerakan untuk langkah tebatan banjir tapi ada masalah bila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya umpamanya untuk mencari kesempatan dan ini amat saya kesalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast