Keadaan kereta Proton Wira dipandu mangsa yang remuk akibat melanggar sebatang pokok menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

MELAKA – Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka (Sektor Pendidikan Islam), Md Razif Shahid meninggal dunia selepas kenderaan dipandu merempuh sebatang pokok di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin dekat Paya Dalam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, 54, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sebatu, Sungai Rambai dari pejabatnya di Bukit Baru.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa jenis Proton Wira yang datang dari arah Bukit Baru menghala ke Sungai Rambai hilang kawalan.

Md Razif Shahid

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum tiba-tiba keretanya terbabas dan melanggar sebatang pokok menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

“Jenazah kemudian telah di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak berusia antara 25 hingga 36 tahun dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sebatu petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast