ROMPIN – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Batu 5 Jalan Gambang, Kuantan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki berusia 63 tahun tersebut disyaki dilanggar sebuah kenderaan ketika sedang berjalan kaki.
“Mangsa telah meninggal dunia di Wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Wan Zahari berkata, pihaknya masih belum menerima laporan yang dibuat pemandu kenderaan yang terlibat dan menyeru agar pemandu berkenaan berbuat demikian.
“Pemandu kenderaan yang terlibat diminta tampil untuk membuat laporan polis dan tindakan tidak melapor kemalangan dalam tempoh 24 jam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 52 Aka Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Tambah Wan Zahari, pemandu kenderaan tersebut boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan jika gagal berbuat demikian.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka Bahagian Siasatan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette