Abdul Hadi Awang.-Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa masih terdapat pengundi saluran satu yang mata mereka dikaburi dengan abu mayat pengganas komunis Chin Peng.

Menurut beliau, pengundi terbabit yang telah sesat selama lebih setengah abad masih terikut dengan teori Machiavellianisme yang terkenal dengan ungkapan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Abdul Hadi mendakwa, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pengundi saluran satu iaitu saluran untuk warga emas tidak menunjukan semangat yang sama seperti pengundi muda Melayu Islam.

Menurutnya, walaupun pengundi warga emas tersebut berlambangkan ‘keris pahlawan Mat Kilau’ namun tidak mempunyai semangat kebangkitan yang sama seperti pengundi untuk melakukan perubahan dengan semangat Mat Kilau.

“PRU-15 menunjukkan kebangkitan pengundi muda Melayu Islam yang melakukan perubahan secara demokrasi dengan semangat keris Mat Kilau sebagai seorang pahlawan yang menentang penjajah.

“Namun, masih ada segelintir generasi daripada saluran satu yang sesat lebih setengah abad walaupun mereka juga berlambangkan keris pahlawan Mat Kilau yang kemudian dilemparnya jauh pergi.

“Mata mereka telah dikaburi oleh abu mayat Chin Peng, seorang pahlawan komunis sehingga terikut-ikut dengan teori Machiavellianisme, the ends justify the means,” katanya dalam artikel yang dikongsi di media sosial.

Melalui artikel bertajuk ‘Mat Kilau yang dilakonkan, Chin Peng yang didukung’, Abdul Hadi berkata, filem Mat Kilau telah mengoyak penutup yang selama ini menyembunyikan perjuangan sebenar bangsa Melayu yang berwajah Islam dalam menentang penjajah.

Wajah perjuangan Islam Mat Kilau sengaja dihapuskan dengan alasan kerana mereka menentang pelaksanaan sistem cukai dan sebagainya.

Melalui filem itu pengundi muda telah sedit sebanyak mengetahui erti perjuangan sebenar.

“Para penonton daripada kalangan generasi muda khususnya mendapat sedikit pencerahan, antara siapakah pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan siapakah pengkhianat yang menjadi alat dan bersekongkol bersama penjajah?

“Cerita sebenar yang ditimbus dalam buku-buku penulisan sejarah yang mengelirukan perlu digali semula. Bahkan sudah terdapat beberapa kajian yang ikhlas mutakhir ini yang perlu dijadikan rujukan kajian supaya umat tidak ditipu berulang kali lagi,” katanya.

Abdul Hadi turut mengungkit kejadian abu mayat Chin Peng yang merupakan bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM) dibawa pulang ke Malaysia.

Beliau juga mengingatkan semula perhimpunan yang telah diadakan bagi mengiktiraf perjuangan komunis yang mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan kemerdekaan.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Semangat komunisme berdendam dgn penjajah Jepun di negara China sana tidak sepatutnya terbawa2 kenegara ini. Dikatakan ramai orang2 tempatan yg menjadi mangsa dendam keganasan.

Comments are closed.