PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia menumpukan sepenuh fokus mereka terhadap tempoh pasca banjir bagi menghadapi bencana itu di seluruh negara yang diramalkan sehingga Mac 2023.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, empat negeri yang sering terjejas teruk dilanda banjir besar turut menjadi keutamaan mereka iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.
“Kali ini kita sudah bersiap menghadapi bencana banjir (kilat dan besar) dan hampir 70,000 anggota campuran agensi penguatkuasaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam untuk memulakan misi pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Beliau hadir ke markas Operasi Polis Marin Putrajaya mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan menyempurnakan majlis menerima sumbangan peralatan banjir daripada 7 Eleven Sdn.Bhd pagi tadi.
Hazani berkata, PDRM sedang merancang menggunakan dapur bergerak di lokasi terjejas banjir untuk memudahkan pengagihan makanan kepada mangsa-mangsa.
“Berdasarkan pengalaman yang lepas bencana banjir di Lembah Klang khususnya di Hulu Langat, pada pasca banjir iaitu sehari selepas banjir besar itu, banyak badan bukan kerajaan (NGO) menghantar makanan untuk petugas dan mangsa-mangsa banjir.
“Malangnya, pemeriksaan kami mendapati makanan yang dihantar oleh NGO,pihak swasta dan individu perseorangan itu basi, tidak segar dan tidak selamat untuk dimakan mangsa banjir dan juga petugas di lapangan,” katanya.
Oleh itu, pihaknya sedang merancang untuk menyediakan dapur bergerak bagi memudahkan semua pihak.
“Jika mana-mana pihak di luar sana termasuk korporat yang mahu menyediakan dapur bergerak ini sangat dialu-alukan.
“Kita tidak ada masalah untuk memasak sebab dalam PDRM saya sendiri boleh masak sedap,, apatah ada ramai pegawai-pegawai di FRU dan PGA yang pandai dan berkemahiran memasak,” ujar beliau. – MalaysiaGazette