Mendiang Ivana Smit

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari menolak permohonan oleh Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membatalkan saman difailkan oleh ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit.

Lima tahun lepas Ivana, 19, ditemukan maut didakwa terjatuh daripada sebuah unit kondominium di Persiaran Capsquare.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menolak pembatalan saman itu kerana berpandangan kes itu tidak boleh diputuskan secara terus.

Kata Roz Mawar, kes itu juga bukanlah kes biasa dan sememangnya terdapat beberapa isu yang perlu dibicarakan dalam prosiding ini.

“Dakwaan oleh defenden yang mereka mempunyai imuniti bawah Akta Polis 1967 tidak boleh diputuskan dengan membatalkan saman. Dakwaan imuniti itu ada beberapa persoalan serius dan hanya terjawab melalui perbicaraan.

“Jelas saman ini bukanlah kes yang boleh dibatalkan begitu sahaja kerana tiada klausa alasan yang munasabah yang membolehkan tindakan itu diambil. Saman ini juga bukanlah remeh, menyusahkan atau salah gunakan proses mahkamah. Mahkamah benarkan permohonan defendan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam prosiding yang turut dihadiri oleh plaintif diwakili Datuk Sankara Nair manakala kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Azhar Hamzah.

PDRM dan kerajaan Malaysia telah memohon membatalkan saman plaintif, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

Roz Mawar juga telah mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM5,000 dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 Disember ini.

Dalam permohonan sebelum ini, Christina mendakwa dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, Sarjan Haliza untuk menutup kes kematian anaknya sebagai kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri.

Sebaliknya kata wanita itu, keputusan tersebut dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa siasatan menyeluruh dan bukanlah satu amalan dalam penyiasatan.

Dakwa wanita itu, anaknya ditemui maut maut di tingkat enam pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Christina atas alasan pernyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 namun pada 7 Februari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan itu.

Sebuah inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi keterangan yang kemudian memutuskan tiada elemen jenayah dalam kematian mangsa.

Namun Mahkamah Tinggi kemudian mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian Ivana yang juga seorang model.

Ketika itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh individu yang dikenali atau tidak dikenali, selain memberitahu tidak ada penyiasatan mencukupi dalam siasatan itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast