Mohamad Farouk Eshak menunjukkan gambar suspek menyamun sebuah kedai serbaneka.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki aktif menyamun kedai serbaneka di sekitar Cheras dan Ampang, di sini, diberkas polis dalam serbuan di Pandan Jaya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang juruwang kedai serbaneka yang mendakwa premis terbabit disamun pada jam 9 pagi 1 Disember lalu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek pada awalnya telah masuk ke dalam premis 24 jam itu sebagai pelanggan dan berpura-pura membeli rokok.

“Selepas membuat pembayaran suspek yang bersenjatakan pisau itu terus melompat masuk ke kaunter wang lalu menyamun wang tunai sebanyak RM150 serta rokok di kaunter tersebut,” katanya pada sidang sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas laporan juruwang itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menyerbu sebuah bilik sewa di kawasan perumahan Pandan Jaya pada jam 8.30 malam, hari yang sama kejadian itu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dikehendaki dalam kes samun yang sedang disiasat pihak berkuasa tersebut.

“Pemeriksaan lanjut juga polis berjaya merampas barang dipercayai hasil samun iaitu pakaian, rokok, wang tunai selain topi keledar yang dipercayai dipakai oleh suspek berkenaan semasa melakukan jenayah samun bersama sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna hijau.

“Siasatan mendapati lelaki itu juga pernah menjadi mangsa samun dan dia melakukan jenayah itu secara bersendirian akibat kehidupannya yang terdesak akibat tekanan dan tidak bekerja.

“Hasil soal siasat juga mendapati suspek sudah melakukan tiga jenayah samun di Cheras dan lima di kawasan Ampang yang membawa kepada keuntungan sekitar RM2,000,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, suspek juga dilibatkan dalam ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanyam suspek kini direman sehingga esok untuk disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette