MELAKA – Padah mengamuk kerana kehabisan rokok sehingga tergamak mencederakan isteri dan dua anaknya, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Melaka di sini hari ini.

Tertuduh Rony Abraham, 37, djatuhkan hukuman itu selepas bapa kepada tiga anak itu membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan, dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38, dengan cara mencucuh puntung rokok di tangan kanan dan mata kiri mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas kesalahan memukul isteri serta dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada pengadu yang juga isterinya dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan wanita itu menggunakan tangan.

Tertuduh turut menumbuk mulut anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan menendang belakang badan anak lelakinya yang berumur 12 tahun.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi, 17 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memarahi isterinya di rumah mereka kerana tidak membelikannya rokok sebelum pengadu keluar mendapatkan rokok untuk suaminya itu.

Bagaimanapun, sebaik pengadu tiba di rumah, tertuduh masih memarahinya dan memukul pengadu di bahagian pipi sebelah kiri dan di seluruh badannya menggunakan tangan sehingga bibir sebelah kiri pecah dan lebam-lebam di tangan serta dada.

Tertuduh kemudian menyalakan rokok dan mencucuhnya di tangan kanan dan sebelah kiri mata pengadu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf selain anak-anak yang masih kecil.

Hakim Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh di tangkap pada 23 Oktober lalu atas pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Manakala Majistret Sharda Shienha menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan di bawah Seksyen 323 kanun sama.

Kesemua hukuman itu bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh sabitan menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman tiga tahun penjara.

Prosiding pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri – MalaysiaGazette.