DOHA – Penyerang muda, Goncalo Ramos sama sekali tidak pernah menyangka muncul wira Portugal selepas meledak hatrik pertama di Piala Dunia 2022 ketika negaranya membelasah Switzerland 6-1 awal pagi tadi untuk mara ke suku akhir bertemu Maghribi.
Penyerang berusia 21 tahun itu diberikan kepercayaan untuk disenaraikan apabila diturunkan buat pertama kali dalam kesebelasan utama saingan kalah mati.
Dia mengenepikan pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo sebelum membalas kepercayaan kepada jurulatih, Fernando Santos dengan mempamerkan corak permainan yang menakjubkan.
Ia merupakan penampilan keempat Ramos bersama pasukan kebangsaan dan bermain dalam tempoh 10 minit di sepanjang dua perlawanan dalam peringkat kumpulan.
Penyerang Benfica itu digantikan dengan Ronaldo ketika permainan berbaki 20 minit ketika Portugal selesa mendahului 5-1.
Penampilan sulungnya bersama Portugal adalah pada 17 November ketika perlawanan persahabatan menentang Nigeria, diturunkan ketika minit ke-67 permainan daripada bangku simpanan.
Pada ketika itu, dia berjaya meledak jaringan untuk menjaringkan gol kemenangan 4-0. – MalaysiaGazette