Jawahar Ali Taib Khan

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan memperkenalkan sajian bajet pada harga mampu milik di lebih 10,000 restoran mamak di seluruh negara, seawal tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif itu diambil pihaknya bagi membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19.

“Sebelum ini kita ada menu 1Malaysia, setiap kerajaan ada satu menu. Lepas ini mungkin letak nama menu rakyat, kita boleh kekalkan satu harga.

“Macam roti canai, teh tarik dan nasi lemak kini seolah-olah jadi satu makanan rutin di Malaysia, kita boleh jual pada kadar paling minimum.

“Restoran mamak konsepnya bukan nak jual pada harga melampaui batas, harga minimum, keuntungannya sedikit tapi jumlah tinggi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Presma kali ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Tambahnya, Presma akan mengusulkan cadangan itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) bagi pelaksanaan sajian harga patut itu.

“Tadi baru bincang dengan pihak KPDNKSH kalau boleh kita nak mengadakan satu menu pada harga patut.

“Contohnya nasi putih, ayam dan sayur dengan satu kadar paling minimum dan ada had waktunya khususnya untuk makan tengah hari.

“Kita akan bincang dengan KPDNKSH,” katanya.

Sementara itu, pada peringkat awal, pihaknya sebulat suara bersetuju dengan konsep menu harga patut itu dan ia perlu diselaraskan harganya menerusi KPDNKSR.

“Kami akan bincang balik apa yang pihak restoran ini boleh bersama-sama mengharmonikan industri ini untuk kesejahteraan rakyat bersama.

“Kita bukan kejar keuntungan sahaja tapi memberikan perkhidmatan dengan harga berpatutan untuk B40 dan M40.

“Dari segi kos, semua barang tengah naik, itu tak boleh jadi alasan. Kena ada CSR dalam industri ini.

“Kita nak keredhaan bukan keuntungan semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette