PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) meminta kerajaan membantu meringankan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atas tiga warga Malaysia di Bangladesh.
Mereka ialah Johari Harun, 48, Mohd Azwan Salihin, 28, dan Hee Wooi Khong, 35, yang ditahan pada Oktober 2015 kerana membawa 45 kilogram (kg) emas ke Bangladesh.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hukuman penjara seumur hidup tersebut adalah melampau dan terlalu berat serta pihak mahkamah Bangladesh gagal mengambil kira faktor-faktor lain yang relevan dalam kes mereka.
“Kita menghormati perlembagaan dan undang-undang negara Bangladesh, tidak ada isu yang mengatakan bahawa kita memberikan elemen atau komen negatif terhadap negara Bangladesh.
“Walaupun begitu, berdasarkan alasan kemanusiaan di mana tiga individu yang ditahan merupakan pesalah yang tidak mengetahui kewujudan undang-undang yang mana membawa emas itu akan dijatuhi hukuman yang begitu berat.
“Untuk itu kita minta kerajaan Malaysia jalin hubungan yang baik dan berbincang dengan kerajaan Bangladesh bagi meringankan hukuman mereka yang ditahan,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Kementerian Luar, di sini, hari ini.
Tambah Hishamuddin, pihaknya mempertikai perbezaan hukuman berdasarkan kes-kes lain yang berlaku di Bangladesh dengan kesalahan yang sama.
Menurutnya, pada September lalu terdapat individu warga China dan rakyat Bangladesh melakukan membuat sama, namun mereka hanya dihukum penjara selama tujuh tahun dan 12 tahun.
“Persoalannya mengapakah rakyat Malaysia dikenakan hukuman penjara seumur hidup? Kita tidak mahu mempertikai keputusan mahkamah tetapi kami mohon supaya hukuman ke atas mereka bertiga dapat disemak semula.
“Kita merayu kerajaan Malaysia adakan perbincangan diplomatik dengan kerajaan Bangladesh kenapa perkara ini hanya berlaku kepada Malaysia.
“Kita mahu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menghubungi Menteri Luar Bangladesh bagi mencapai ‘win-win situation’ dengan menghormati undang-undang Bangladesh dan menjaga hak asasi dan kemanusiaan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan bahawa beliau ada menghubungi mereka yang ditahan di penjara melalui saluran rasmi.
“Mereka mengaku melakukan kesalahan tetapi tidak tahu hukuman yang dikenakan adalah berat dengan hanya mengambil upah RM300.
“Mereka merayu kepada kerajaan untuk mengeluarkan mereka kerana tidak tahan dipenjara dengan begitu lama di sana.
“Mereka beranggapan bahawa kehidupan mereka akan berakhir dengan kematian di penjara tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette