Pengarah Biro Mobilasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Sany Hamzan menunjukkan memorandum meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menubuhkan RCI untuk menyiasat perbelanjaan RM600 bilion termasuk kelulusan projek rundingan terus di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion perlu disegerakan bagi mengelakkan dakwaan dan fitnah berleluasa.

Pengarah Biro Mobilasi Parti Amanah Negara (Amanah), Sany Hamzan berpendapat rakyat berhak mengetahui perbelanjaan wang berkenaan.

“Isu ini saya rasa (Pengerusi Perikatan Nasional) Tan Sri Muhyiddin Yassin difitnah, saya sebut sekali lagi, Tan Sri Muhyiddin Yassin difitnah. Sebab tidak akanlah seorang abah, orang yang baca doa ketika PKP, PKPD, PKPP, sanggup mencuri duit rakyat anaknya?

“Tambah pula dalam PN kita tengok hari ini selain daripada ada Bersatu, ada juga Pas. Sebab itu dalam isu ini saya tidak percaya Tan Sri Muhyiddin curi, rompak, ragut, samun, sakau duit rakyat dan ini pada saya merupakan satu tomahan jahat yang dilemparkan kepada Muhyiddin oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Baru-baru ini ketika kempen pilihan raya ramai orang mengatakan bahawa PN berbelanja mewah, pada saya tidak. Yang berbelanja mewah adalah PH, Barisan Nasional (BN), PN tidak berbelanja mewah pun sebab itulah kita serahkan hari ini memorandum kita mohon supaya disegerakan penubuhan RCI,” katanya dalam nada berseloroh.

Terdahulu, Setiausaha Biro Mobilasi Amanah, Mohamad Faridul Amini Suhaimi menyerahkan memorandum di Istana Negara bagi meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara untuk
menubuhkan RCI bagi menyiasat perbelanjaan RM600 bilion termasuk kelulusan projek rundingan terus di bawah pentadbiran Muhyiddin.

Penubuhan tersebut disifatkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Sementara itu Sany mendedahkan telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berkenaan perkara berkenaan.

“SPRM baru telefon saya tadi dia minta saya ke SPRM untuk bagi keterangan untuk kes RM600 bilion. Insya-Allah saya akan beri kerjasama terbaik kepada SPRM dalam minggu depan saya akan hadir ke SPRM untuk beri keterangan dan kerjasama apa yang diperlukan pihak itu,” tambah beliau.

Baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tidak takut disiasat polis selepas beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Katanya, tidak mungkin beliau boleh menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank, yang bukan di bawah kawalannya. – MalaysiaGazette