Ketua Polis Daearah Kuantan, ACP Wan Zahari Wan Busu (tengah) menunjukkan barang rampasan kes pecah mesin layan diri selepas 'Geng Pak An' berjaya ditangkap.

KUANTAN – Polis berjaya menyelesaikan 11 kes pecah mesin layan diri di kawasan Indera Mahkota, Air Putih dan Beserah dengan penahanan tiga ahli Geng Pak An pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daearah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di bandar raya Kuantan.

“Hasil siasatan awal terhadap kedua-dua suspek yang ditangkap membawa kepada satu lagi tangkapan seorang lagi lelaki warga tempatan di kawasan Jaya Gading,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Zahari berkata, suspek melakukan kegiatan pecah mesin layan diri bermula sekitar 3 sehingga 6 pagi sejak awal November lalu.

“Antara mesin layan diri (vending mMachine) yang menjadi sasaran suspek ialah mesin layan diri dobi, mesin layan diri minuman dan makanan ringan selain mesin layan diri air bertapis,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek kemudian membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang dicuri, dua unit mesin drill, sebatang pemutar skru, sebatang spanar dan sebatang kuku kambing yang digunakan untuk kegiatan jenayah.

Wan Zahari turut memaklumkan mangsa mengalami kerugian diantara RM1,000 sehingga RM1,500 meliputi kos untuk membaiki semula mesin yang telah dipecahkan di mana anggaran keseluruhan mencapai RM10,000.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 24 sehingga 31 tahun mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah direman bermula 4 Disember sehingga esok,” katanya.

Ketiga-tiga suspek akan dituduh di bawah Sesyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal, Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.- MalaysiaGazette