PUTRAJAYA – “Tolonglah, tolonglah, bantu keluarkan anak saya dari sana. Saya sangat rindukan dia.”
Itu luahan Siti Fatimah, ibu kepada Mohd Azwan yang dipenjara seumur hidup di Bangladesh.
Mohd Azwan Salihin, 28, telah ditahan bersama dua lagi warga Malaysia iaitu Johari Harun, 48 dan Hee Wool Khong, 35, atas kesalahan membawa masuk emas seberat 45 (kg) ke Bangladesh pada Oktober 2015.
Siti Fatimah merayu kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan anaknya yang telah menjalani hukuman selama tujuh tahun di negara berkenaan.
Dalam pada itu, kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Su berkata, adiknya pergi ke Bangladesh selepas terpengaruh dengan rakannya.
“Adik ketika itu ditawarkan tiket penerbangan kelas perniagaan ke Bangladesh, makan minum percuma, hotel serta wang RM300.
“Dia yang pada ketika itu berusia 21 tahun pasti terpengaruh dengan tawaran tersebut kerana masih muda,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurut Su, dia tidak tahu adiknya ke Bangladesh, selepas seminggu hilang, seorang rakan Mohd Azwan datang ke rumah memberitahu adiknya ditangkap di Bangladesh.
Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan antaranya ulang alik pergi ke kedutaan di Bangladesh, pergi ke Wisma Putra serta mendapatkan khidmat guaman di Bangladesh namun semuanya gagal dan mereka turut ditipu.
“Duit sudah beribu habis. Saya nak melawat adik di penjara kena bayar RM700 atas alasan pihak penjara minta namun sebenarnya ditipu oleh peguam sendiri.
“Tujuh tahun saya ulang alik melawat adik di sana (Bangladesh) sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 namun tiada hasil,” katanya.
Su memohon kerajaan Malaysia supaya bantu menggunakan kuasa kerajaan merayu supaya hukuman adik dan rakan-rakannya diringankan serta membawa mereka pulang ke negara ini.
Sementara itu, isteri kepada Johari, Maizun Mohd Noor, 47, sedih memikirkan nasib suaminya yang dihukum penjara seumur hidup di negara yang sama.
Ibu kepada enam anak itu berkata, suaminya memberitahu menerima upah RM300 untuk membawa emas ke Bangladesh namun tidak mengetahui bahawa itu merupakan satu kesalahan.
“Saya dan suami menjalankan perniagaan pakaian terpakai. Namun pada tahun itu perniagaan merosot, jadi suami mencari pendapatan lain bagi menampung keperluan keluarga.
“Suami ada beritahu mahu ke Bangladesh dan saya tidak menghalangnya kerana sudah beberapa kali dia ke negara itu untuk mengambil stok jualan memandangkan kami juga ada menjual pakaian terpakai dari Bangladesh,” katanya.
Menurutnya, dia mengetahui suaminya ditahan di Bangladesh selepas diminta oleh seorang kenalan untuk melihat media Bangladesh menerusi Youtube bagi memastikan itu adalah suaminya.
“Selepas kejadian, sudah beberapa kali saya ke sana melawat suami dan kali terakhir sebelum pandemik Covid-19 pada 2020.
“Anak-anak sangat merindui bapa mereka terutama anak bongsu yang ditinggalkan ketika berusia tiga tahun dan kini sudah berusia 10 tahun yang tidak sempat mengingati wajah bapanya,” katanya. – MalaysiGazette