MELAKA – Penipuan seorang warga warga Indonesia menggunakan kad pengenalan palsu sejak 22 tahun lalu akhirnya terbalas apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.
Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Linda Crystal, 38, selepas pekerja salun itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki kad pengenalan palsu atas nama Tan Bee Bee beralamat A-G 6028 Machap Umboo Baru, Alor Gajah, Melaka.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, (JPN) cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Melaka pada pukul 1 petang, Isnin lalu.
Mengikut fakta kes, kesalahan tertuduh dikesan selepas pihak JPN di cawangan UTC membuat semakan sebelum mendapati kad pengenalan yang dimiliki Linda tiada rekod dalam sistem jabatan berkenaan.
Tertuduh mengaku bernama Linda Crystal berasal dari Bandung, Indonesia dan memperoleh kad pengenalan semasa bekerja di sebuah salon di Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun dengan bayaran RM1,500 dan turut memiliki kad kartu tanda penduduk Republik Indonesia.
Pendakwaan dibuat mengikut Peraturan 25 (1) (a) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Melaka, Ahmad Amirul Ahmad Jamal meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan adalah serius.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan mengalami tekanan perasaan serta perlu menjaga suami warga tempatan yang mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette.