Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyaksikan pertukaran memorandum antara Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings, Datin Paduka Norazlina Zakaria (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dynac Sdn Bhd, Datuk Md Jasman Bongkek (kanan) pada Majlis Tandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Projek Bekalan Kuasa Cyberjaya di DoubleTree Hilton Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 DISEMBER 2022.

SHAH ALAM – Worldwide Holding2 Berhad (WHB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dynac Sdn. Bhd. (DSB) bagi kerjasama berkaitan pembangunan projek bekalan kuasa untuk Cyberjaya.

MoU itu memberi tumpuan kepada bahan api bersih dan produk hijau.

Menurut Ketua Eksekutif WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria, pihaknya memilih Cyberjaya kerana ia merupakan hab sains, teknologi dan inovasi yang terkenal dengan pembangunan berkepadatan rendah.

Katanya, ia juga dikelilingi rizab hijau dan infrasruktur yang berkualiti di samping bangunan komersial yang direka khusus bagi memenuhi segala keperluan fizikal syarikat ICT dan teknologi.

“MoU ini sekali gus memperakukan kerjasama dalam usaha peralihan kepada tenaga bersih dan memberi manfaat kepada kedua pihak, selain diperlukan untuk kemakmuran komuniti setempat.

“Paling menonjol mengenai kerjasama ini adalah taman solar berskala besar yang direka bentuk secara harmoni dengan landskap semasa dan persekitaran semula jadi kawasan pembangunannya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis MoU dengan rakan kerjasama DSB di sebuah hotel di sini malam ini.

Majlis MoU itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kata Norazlina, memandangkan ASEAN kini berada di landasan yang tepat ke arah menjadi ekonomi digital bernilai RM1 trilion menjelang 2030 dan bakal muncul sebagai kuasa besar inovasi, WHB dan DSB komited memajukan sektor perniagaan ke masa hadapan.

Beliau percaya, kerjasama itu akan menyokong usaha mengukuhkan pelaksanaan pelan hala tuju digital Selangor, negeri termaju dengan penduduk teramai di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DSB, Datuk Md. Jasman Bongkek berkata, tumpuan  berkaitan alam sekitar, kelestarian dan tadbir urus pada masa kini turut mendorong minat dua syarikat berkenaan untuk bekerjasama.

Katanya, ia dalam usaha menjadikan Cyberjaya lokasi yang kompetitif serta lebih menarik kepada pemain ICT tempatan dan luar negara.

“Usaha ini dijangka membuahkan hasil pada pertengahan tahun 2024, selaras dengan tiga objektof utama program Smart Selangor iaitu kebolehhunian, produktiviti ekonomi dan kelestarian alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette