Logo Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MOA) dan melantik Raiz Malaysia Sdn. Bhd. (Raiz) sebagai ejen kutipan zakat yang baru.

Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada pembayar zakat khususnya pengguna aplikasi Raiz

Raiz merupakan pengurus pelaburan digital berlesen dan syarikat usahasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Malaysia.

Melalui aplikasi pelaburan mikronya yang unik, membantu orang ramai untuk menyimpan dan melabur duit baki harian secara automatik setiap kali berbelanja. Pengguna juga mendapat ganjaran bonus tunai apabila berbelanja dengan lebih 100 rakan jenama Raiz.

Sejak dilancarkan pada Julai 2020, Raiz kini telah merekodkan lebih 1 juta muat turun dan lebih 300,000 akaun telah berjaya dibuka.

”Dengan perlantikan ini, PPZ-MAIWP akan menjadi salah satu rakan jenama Raiz. Pembayar zakat dan pengguna Raiz kini boleh membuat bayaran bagi pelbagai jenis zakat termasuklah zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham, emas, perak dan KWSP.

”Istimewanya, setiap pembayaran zakat yang yang berjaya dilakukan melalui aplikasi Raiz akan mendapat 1% bonus tunai yang akan disimpan dan dilaburkan terus ke dalam akaun Raiz dan ianya tidak sama sekali akan menjejaskan amaun zakat yang ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kerjasama antara PPZ-MAIWP dan Raiz ini adalah sebagai salah satu usaha PPZ-MAIWP dalam mempelbagaikan kemudahan dan perkhidmatan bayaran zakat kepada orang ramai.

Perkhidmatan yang dikendalikan oleh Raiz ini dijangka dapat menambah baik kesedaran berzakat kepada masyarakat di samping dapat meningkatkan jumlah kutipan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, PPZ-MAIWP sentiasa cakna akan kehendak semasa pembayar zakat dalam menguruskan pembayaran zakat mereka.

”Di PPZ-MAIWP, kami sering berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan penggunaan digital di kalangan pembayar kami. Kami yakin kolaborasi melalui digital bersama Raiz ini akan memberikan nilai tambah dan kemudahan pembayaran kepada semua pembayar Muslim di mana jua mereka berada, sama ada di Malaysia atau luar negara.

”Semoga dengan pelantikan Raiz sebagai ejen PPZ-MAIWP mampu menyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan dan pembayar zakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast