PENGAMBILAN pertama pelajar UMS dibuat pada bulan Jun 1995. Seramai 205 pelajar sulung UMS datang dari pelbagai daerah di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung. Kumpulan pertama mahasiswa UMS ini sangat beruntung kerana mereka tiada ‘pelajar senior’, di mana keseluruhan Minggu Suai Mesra dikendalikan sepenuhnya oleh para profesor dan doktor, pensyarah dan tutor. Malah Naib Canselor pun turut terlibat menyambut pelajar dan mengendalikan sesi latihan dasar kepemimpinan (LDK).
Para pelajar ditempatkan di dua buah blok asrama di sekitar Kompleks Yayasan Sabah, betul-betul menghadap Bangunan Yayasan Sabah, bangunan tercantik di Malaysia pada waktu itu. Sesi kuliah dijalankan di bilik-bilik kuliah di bangunan akademik yang terletak di atas bukit kecil tepi Yayasan Sabah, yang menghala ke Teluk Likas. Bagi kursus-kursus umum dengan bilangan pelajar yang ramai, sesi kuliah dijalankan di Teater Mini
Yasasan Sabah dan di Dewan Undangan Negeri Sabah yang lama yang terletak di bawah bangunan Yayasan Sabah. Selain Perpustakaan Yayasan Sabah, terdapat juga perpustakaan mini di blok akademik untuk kemudahan mahasiswa belajar dan membuat rujukan. Segala kemudahan di kompleks Yayasan Sabah terbuka untuk kegunaan pelajar pertama UMS; padang bola, gelanggang bola tampar, dan dewan badminton.
Walaupun dalam skala kecil, namun segala kemudahan yang disediakan adalah cukup lengkap dan memenuhi keperluan hidup dan membantu pembelajaran mahasiswa. Majlis Pelancaran Pecah Tanah UMS dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan salah satu majlis yang sangat bersejarah dan cukup signifikan bagi kami. Buat pertama kalinya model bangunan dan senibina Kampus UMS yang bakal dibina ditunjukkan kepada awam. Alangkah cantik dan indahnya UMS. Kami berasa sangat teruja menanti terbinanya Kampus ini kelak. Pada majlis inilah Perdana Menteri mengumumkan bahawa UMS merupakan universiti tercantik dan terindah di Asia Tenggara dengan Teluk Likas terbentang di hadapannya dan Gunung Kinabalu berdiri kukuh di belakangnya.
Majlis Perwakilan Pelajar UMS (MPP UMS) dibentuk pada semester kedua tahun pertama sesi pembelajaran. Pilihan raya MPP dilaksanakan untuk memilih barisan kepimpinan pelajar (MPP) dan juga Jawatankuasa Asrama (JAKMAS) untuk mewakili pelajar dalam menyuarakan pendapat dan membantu pihak pentadbiran universiti melaksanakan aktiviti-aktiviti pelajar. Sistem pemilihan pertama pilihan raya UMS adalah unik dan tidak
berorientasikan parti. Kesemua jawatan utama MPP dan perwakilan sekolah/fakulti dipertandingkan terus ke jawatan terlibat tanpa melalui proses pemilihan dari calon-calon yang menang pilihanraya. Hasil dari pilihan raya iini, “Kabinet Perpaduan’ MPP dan JAKMAS pertama UMS telah berjaya dibentuk.
Kebajikan mahasiswa merupakan agenda utama perjuangan barisan MPP dan JAKMAS pertama UMS. Antara isu-isu kebajikan mahasiswa pada waktu itu adalah kemudahan pengangkutan dan ‘flying lecturer’. Bantuan “flying lecturer” dari luar terpaksa digunakan untuk menampung kekangan kekurangan pensyarah tetap UMS yang sebahagiannya menyambung pelajaran di peringkat sarjana dan PhD di luar UMS. Kursus-kursus yang diajarkan oleh ‘flying lecturer’ ini ada kalanya dijalankan di hujung minggu dan berterusan dari pagi hingga ke malam untuk memenuhi silibus pengajaran.
Isu pengangkutan wujud bila UMS membuka Kampus Jalan Tuaran di Tebobon untuk penempatan dan kuliah mahasiswa Sekolah Sains dan Teknologi dan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat. Ada kuliah-kuliah tertentu yang dijalankan di kedua-dua kampus ini yang melibatkan pergerakan pelajar. Namun begitu segala kekurangan, kekangan dan keterbatasan ini, tidak menghalang generasi mahasiswa pertama UMS ini meraih segulung ijazah dengan jayanya.
Dewan Undangan Negeri Sabah menyaksikan segala Upacara Konvokesyen Pertama UMS pada 11 November 2099. Seramai 600 graduan kohort pertama dan kohort ke-2 UMS mendapat ijazah pada Konvokesyen pertama ini. Usaha, kerjasama dan pengorbanan para pentadbir, pensyarah, staf sokongan dan para mahasiswa telah berjaya menghasilkan graduan UMS yang cemerlang dari segi pemikiran dan idea; kukuh displin, sahsiah dan jati diri serta teguh iman sumber pedoman.
Semua ini merupakan sumber kekuatan yang sangat diperlukan oleh negara untuk mengharungi segala cabaran dan perubahan dalam membangun bangsa dan negara. Ucapan terima kasih seakan masih tidak cukup untuk kami bagi menzahirkan penghargaan dan rasa syukur atas segala jasa dan kebaikan yang dicurahkan kepada kami generasi mahasiswa sulung UMS.
Pengalaman sebelum masuk UMS
Kewujudan UMS memberikan ruang dan peluang kepada rakyat Sabah khasnya untuk melanjutkan pelajaran. Sebelum ini, kesemua lapan universiti awam berada di Semenanjung Malaysia. Peluang melanjutkan pelajaran hanya terbuka luas bagi golongan yang mampu, yang mempunyai persediaan kewangan memadai kerana kos pengangkutan udara bukanlah murah, tidak termasuk yuran pengajian dan kos penginapan dan makan minum. Atas alasan tersebut, secara peribadi, saya tidak pun memohon masuk ke mana-mana universiti selepas tamat pengajian saya di STPM.
Walaupun saya yakin boleh mendapat tempat di universiti dengan keputusan Sijil Penuh STPM aliran sains, saya memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga. Percubaan pertama saya memohon selepas 5 tahun, saya berjaya diterima masuk di USM tetapi atas faktor kos, terpaksa saya tolak. Mungkin pinjaman dan bantuan kewangan boleh diperolehi, tetapi bantuan ini bukanlah diperolehi serta-merta seperti PTPTN. Ianya perlu dipohon dan memakan masa. Jadi persediaan wang yang banyak diperlukan untuk menanggung kos kehidupan di tahun pertama.
Bila UMS ditubuhkan bertempat di Kota Kinabalu, saya mencuba nasib untuk kali terakhir. Syukur alhamdulillah saya diterima masuk menjadi pelajar sulung UMS. Walaupun masalah kos masih tidak dapat saya atasi, saya betekad tidak akan melepaskan peluang ini. Setelah berbincang dengan keluarga, dengan berat hati saya terpaksa berhenti kerja sebagai guru sandaran dan mendaftar di UMS.
Hari pertama mendaftar di UMS merupakan juga kali pertama saya naik kapal terbang seumur hidup saya dari Tawau. Hari itu saya berasa sangat sebak dan terharu melihat air mata ibu saya dan senyuman perpisahan anak-anak murid yang turut menghantar saya di Lapangan Terbang Tawau. Saat itulah saya berazam dan bertekad cemerlang. Semua pengorbanan ini tidak akan saya sia-siakan.
Harapan kepada UMS
Pada pandangan saya, UMS merupakan sebuah kilang permata. Di UMS inilah batu batu permata yang kelam dan kusam, kabur dan pudar mula dicanai, diasah dan diperhaluskan. Akhirnya dikilat dan digilap sehingga menjadi batu permata yang bersinar cemerlang dan berkilauan serta berharga. Di UMS lah segala bakat dan minda pelajar dicungkil dan dibangunkan sehingga aspek dan nilai individu kurang baik dijadikan baik, yang baik menjadi bertambah baik dan yang telah baik menjadi cemerlang.
Selama ini UMS telah melahirkan beribu-ribu individu cemerlang yang bertebaran di seluruh pelosok negara dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat di pelbagai bidang dan sektor kehidupan, baik dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta. Saya mengharapkan dan mendoakan agar UMS, di masa-masa mendatang ini akan tetap kekal teguh dan terus cemerlang membangun sumber tenaga manusia yang berkualiti tinggi dengan menyediakan prasarana pendidikan yang kondusif dan berdaya saing demi kemajuan agama, bangsa dan negara tercinta.
Terima Kasih UMS…selamat bergraduat adik-adik graduan UMS pada 10, 11 dan 12 Disember 2022.
Oleh: Idham Hussin
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS Pertama 1995-1997