Rais Yasin

MELAKA – Kerenah birokrasi antara pihak berkuasa dan pemilik bangunan dikesan antara punca kelewatan masih banyak premis kerajaan negeri tidak dilengkapi sistem bumbung solar ke arah memperkasakan teknologi hijau di masa hadapan.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, masih banyak ruang dan peluang harus dilipat gandakan terhadap usaha melestarikan alam sekitar itu yang juga tidak hanya terhad kepada bangunan kerajaan semata-mata.

“Kita minta perhatian kepada semua pemilik bangunan (pejabat) kerajaan negeri ini sebab kadang-kadang ada di antara bangunan pejabat itu bukanlah milik kerajaan negeri, mereka perlu dapatkan kebenaran dari pihak kerajaan Persekutuan dan sebagainya.

“Ini yang mengakibatkan proses birokrasi itu jadi lambat, sebab itu saya harap kita kurangkanlah kerenah birokrasi ni supaya kita boleh segerakan pemasangan bumbung solar ini untuk memperkasakan lagi amalan teknologi hijau di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malam Anugerah Hijau Melaka 2022 anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Penganjuran tahun ke enam anugerah itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada jabatan dan agensi kerajaan yang komited dalam amalan inisiatif hijau dan langkah inovatif ke arah usaha tersebut.

Mengulas lanjut, Rais berkata amalan teknologi hijau bukan sahaja penting untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi malah ianya juga lebih menjimatkan untuk jangka masa panjang sekaligus meminimumkan kesan negatif daripada kehidupan seharian.

“Sebab itu, saya melihat penggunaan bumbung solar ini mesti terus diperluaskan lagi contohnya kepada masjid-masjid yang boleh menjimatkan kewangan institusi agama itu sendiri.

“Kerajaan negeri di bawah PTHM akan terus mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menjayakan inisiatif teknologi hijau ini selaras dengan misi Melaka menuju negeri lestari menjelang 2035,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast