USAHA memartabatkan hak asasi manusia sejagat adalah meluas. Sesungguhnya, mana-mana pihak meskipun golongan entiti yang pernah membuat kesilapan menyalahi perundangan tidak harus dipinggirkan. Walaubagaimanapun, gelaran penjahat kerap kali digunakan apabila merujuk kepada bekas banduan biarpun mereka telah dibebaskan. Label ini tetap membelenggu mereka dan menyebabkan kedudukan mereka, sama ada mereka masih merupakan sebahagian daripada komuniti dipertikaikan. Sehubungan itu, wujudnya persoalan adakah komuniti yang pernah hidup dalam ‘dunia tirai besi’ masih berhak untuk menerima layanan yang sepatutnya setelah dibebaskan?
Adakah golongan bekas banduan masih berhak untuk meneruskan hayat kehidupan dengan hak asasi berserta keadilan sosial seperti orang biasa? Semua pihak adalah berkepentingan. Lazimnya, Masyarakat perlu menimbangkan layanan yang wajar diberikan kepada bekas banduan. Adakah memadai untuk masyarakat sekadar memberikan layanan tanpa sindiran atau stigma negatif ataupun perlukah masyarakat bertekad hati dalam membentuk persekitaran yang memperkasakan keadilan dan kesaksamaan tanpa wujud sebarang kelainan untuk bekas banduan.
Diskriminasi dalam isu perekrutan bekas banduan dalam sebarang pekerjaan boleh disifatkan sebagai kegagalan usaha dalam memelihara hak asasi bekas banduan. Berdasarkan prinsip jurispruden, iaitu pengkelasan munasabah, layanan yang berbeza harus berasaskan elemen rasional dan perbezaan yang wajar. Pihak majikan seharusnya menilai seseorang pekerja berdasarkan keupayaan individu dan bukannya mengikut latar belakang seseorang tersebut. Justeru itu, kewajaran dalam menentukan potensi seseorang, walau pernah diberikan label pesalah jenayah, bermula daripada majikan memberikan peluang kepada mereka.
Hasrat mereka untuk berintegrasi semula dengan masyarakat tidak seharusnya dipandang rendah kerana mereka hanya semata-mata mengharapkan dapat dilayan seperti orang biasa sahaja. Mereka harus dihormati kerana menjana rezeki melalui tangan sendiri walaupun mengetahui risiko dipandang rendah sesetengah pihak dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan di Malaysia yang menjelaskan kesamarataan di sisi undang-undang juga meliputi hak banduan yang dibebaskan dalam konteks perihalan perundangan. Transisi kehidupan bekas banduan yang menembusi dunia tirai besi menjadikan mereka tergolong sebagai kumpulan rentan yang dihadapa dengaan kenyataan ketidakterimaan dunia terhadap mereka. Mereka menjadi subjek tumpuan segala anasir negatif termasuk daripada individu yang rapat dengan mereka.
Menurut justifikasi doktrin pengkelasan munasabah yang berhubung kait dengan persoalan ini, rakyat negara tidak wajar dibezakan tanpa sebab kerana semua adalah tertakluk kepada naungan perlembagaan yang sama. Peruntukan hak diberikan kepada semua. Oleh itu, tidak sepatutnya wujud prejudis dalam soal kelainan agama, budaya, kaum, tahap pendidikan serta latar belakang individu dan lain-lain tanpa justifikasi munasabah.
Adakah kita wajar melabelkan seseorang bekas banduan itu sebagai penjahat walaupun dia telah bertaubat dan melaksanakan segala sumbangan beramal baik? Adakah kita tetap mendukung perspektif bahawa niat asal beliau adalah bercanggahan dengan tindakan beliau hanya kerana beliau merupakan bekas banduan? Menurut aplikasi doktrin pengkelasan munasabah, kita perlu mempamerkan sifat rasional dengan tidak mencampur-aduk faktor isu yang berlainan sehingga wujud silap faham yang tidak berasas.
Menurut Profesor HLA Hart dalam terbitan berjudul ‘Law, Liberty and Morality’kebebasan untuk membuat pilihan adalah dengan sendirinya sesuatu yang bernilai. Kunci utama dalam prinsip berikut adalah bekas banduan mampu menilai secara wajar tentang apakah sebenarnya perwatakan mereka dan mempercayai bahawa sumbangan yang dicurahkan masih bermakna bagi masyarakat. Oleh itu, pelaksanaan hukuman iaitu pihak penjara harus bersifatkan mengubah dan mentaubatkan mereka yang bersalah melalui didikan yang berperikemanusiaan serta pemberian peluang agar banduan mendapat kesedaran dari segi moraliti. Maka tanggapan masyarakat terhadap bekas banduan wajib diperbaharui. Masyarakat harus cuba menerima mereka tanpa wujud sebarang
prasangka. Maka, setiap niat bekas banduan dalam membuat pilihan untuk berubah wajar diutamakan.
Tuntasnya, manusia harus mengutamakan kepentingan awam melalui naluri pemikiran yang berteraskan kepada didikan falsafah jurispruden bagi memartabatkan skim kesaksamaan yang berorientasikan terhadap kepentingan sejagat. Tambahan pula, masyarakat harus menyokong individu yang pernah membuat kesalahan yang bercanggahan dengan moraliti masyarakat supaya mereka dapat mencapai kesedaran agar menjadi insan yang menyumbang kepada kesejahteraan makmur negara.
Oleh: Chuah Cee Wei,
Pelajar Jurusan Undang-Undang
Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) &
Rachel Decruz,
Pensyarah Subjek Jurispruden Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)