Zaliha Mustafa (kiri) bercakap kepada media selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Segamat di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited mempertingkatkan infrastruktur perkhidmatan kesihatan di negeri Sabah dan Sarawak supaya segala isu dan aduan berbangkit dapat diselesaikan.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementerian itu ambil maklum tentang masalah-masalah perkhidmatan kesihatan di dua negeri itu termasuk kejadian terbaharu membabitkan seorang pesakit warga emas di Lawas.

Menurutnya, isu di Lawas itu melibatkan isu infrastruktur seperti perjalanan ke hospital dari Lawas ke Miri yang sangat jauh dan perlu melalui beberapa check point.

“Isu itu akan cuba ditangani dan ianya memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan yang lain,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Segamat dekat ini.

Beliau mengulas kematian seorang wanita warga emas dari Lawas apabila ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke Hospital Miri tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri awal pagi Selasa lalu.

Media melaporkan, setiba ambulans di ICQS kira-kira jam 1.30 pagi tiada sesiapa di pintu pagar dan pengawal keselamatan di kompleks berkenaan mendakwa individu yang memegang kunci tiada pada masa kejadian, justeru pintu tersebut tidak dapat dibuka.

Katanya, usaha menambah baik perkhidmatan KKM itu seiring dengan matlamat Pembangunan Kertas Putih Kesihatan yang memberi penekanan kepada ancaman sekuriti kesihatan di negara ini.

Mengulas lawatannya di hospital itu, Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, bangunan tambahan Hospital Segamat yang bernilai RM90.5 juta bakal beroperasi awal tahun depan.

Bangunan tersebut yang mula dibina pada 2018 dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu Unit Hidrodinamik dan Respiratori (RHU) bagi menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast