Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Nigeria dan dua wanita Tanzania direman selama tujuh hari sehingga 15 Disember 2022 bagi siasatan terhadap kes pemerdagangan orang.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita Tanzania pada 7 Disember lalu.

Wanita ini mendakwa telah melarikan diri daripada kenalannya, juga warga Tanzania kerana telah ditipu setelah dijanjikan pekerjaan di pusat kecantikan di Malaysia.

Dia juga mendakwa telah dikurung dan dipaksa untuk memberikan perkhidmatan seks kepada lelaki.

Semasa melarikan diri, pengadu telah meninggalkan barang pengadu dan pasport yang masih berada dengan suspek.

Menurut Mohamad Farouk, pengadu membuat laporan polis kerana mahu merujuk kepada pihak kedutaan bagi mendapatkan semula passport untuk pulang semula ke negara asal.

Bertindak atas maklumat risikan, pada 9 Disember, jam lebih kurang 12/45 malam, sepasukan polis Ampang Jaya telah berjaya menahan tiga suspek termasuk dalang utama di Expressionz Professional Suites di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Polis juga telah merampas telefon bimbit kesemua suspek dan pemeriksaan telefon bimbit suspek utama mendapati terdapat gambar-gambar serta gambar passport pengadu.

Ketiga-tiga individu yang ditahan didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan berdasarkan siasatan awal, dipercayai berada di Malaysia menggunakan visa sebagai pelajar.

Kesemua suspek yang ditahan berusia di antara 28 hingga 37 tahun.

Menurut beliau, suspek lelaki memiliki passport ketika ditahan manakala dua suspek wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ujian saringan awal dadah kesemua suspek telah dijalankan dan kedua-dua suspek wanita didapati positif dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun, dan boleh juga didenda. – MalaysiaGazette