GEORGE TOWN – Pas Pulau Pinang membantah tindakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang didakwa akan menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah masjid yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

Ketua Penerangan Pas negeri, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, mereka terpilih ini telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah lima Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003.

“Kita menuntut MAINPP mengikuti prosedur sebenar iaitu menggunakan Kaedah 32 iaitu gugurkan nama pengerusi mempunyai masalah seperti berfahaman sesat, melakukan jenayah bukan semata-mata kerana tidak sebulu atau tidak berkenan di mata pihak MAINPP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Razib, Pas negeri bertegas agar hal ini dipandang serius oleh pihak MAINPP dan perlu menghormati keputusan dan pilihan anak kariah sementelah mereka ini dipilih dan dipercayai oleh anak kariah masing-masing.

“Semoga mereka ini yang bersedia berkhidmat untuk anak kariah mereka dalam meninggikan syiar Islam dilantik secara sah dalam keadaan adil dan saksama,” kata beliau.

Terdahulu, tular beberapa hantaran di Facebook dengan dakwaan tidak puas hati dengan tindakan MAINPP yang dikatakan menyalah guna kuasa atas tujuan tertentu susulan pemilihan ahli kariah dengan pengerusi yang bakal dilantik berbeza. – MalaysiaGazette