Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Ulama dan Asatizah di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri tidak akan teragak–agak untuk memecat serta-merta Jemaah Menteri Kabinet sekiranya didapati mereka terlibat dengan jenayah rasuah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin negara yang melalukan jenayah rasuah selagi mana beliau masih menjadi Perdana Menteri di negara ini.

“Saya bagi tahu kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang saya pilih, soal pertama itu adalah tatakelola tadbir urus yang baik, maknanya tiada rasuah.

“Saya bercakap dengan semua ketua parti komponen (PH), kalau ada semasa pentadbiran saya selaku Perdana Menteri, kes seperti itu, saya pecat serta-merta. Saya tidak tolak ansur,” katanya di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pertemuan Mahabbah bersama ulamak dan asatizah.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tambah Anwar, ketegasan terhadap jenayah rasuah bukan satu keazaman politik semata-mata bahkan menjadi asas utama pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Ini bukan kenyataan politik, ini keyakinan saya. Saya telah dihumban ke penjara, dipukul setengah mati, sudah lama terseksa.

“Bukan untuk kemudian mendabik dada aku, aku sekarang (PM), menganggap ini semua ujian Allah SWT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette