KUALA LUMPUR – Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO memecat Tan Sri Annuar Musa satu keputusan tepat kerana Ketua Bahagian Ketereh itu selama ini menjadi tali barut kepada pemimpin Bersatu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, kerja dalang dilakukan bekas Menteri Komunikasi dan Multi Media itu bukannya baharu malah selepas Barisan Nasional (BN) kalah PRU14 lagi beliau dikatakan bersama gengnya sudah melakukan kerja licik di belakang.
Katanya, semua orang tahu dan nampak macam mana Annuar back up Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu ketika diangkat sebagai menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Setiausaha UMNO dahulu.
“Sampai ada orang yang keliru Annuar ini orang UMNO atau orang Bersatu. Beria benar dia bercakap dan pertahankan Muhyiddin terutama bila Perdana Menteri kelapan itu kena belasah dengan orang lain.
“Sikap musang berbulu ayam Annuar makin terserlah bila UMNO/BN sekali lagi kalah pada PRU15 lalu.
“Beliau punya lah angkat dan bodek Muhyiddin ‘kaw-kaw’ dalam usaha dia mahu BN bekerjasama dengan PN untuk bentuk kerajaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Menurutnya, sikap memuji itu tanda disedarinya telah terlepas cakap macam mana beliau masuk dalam bilik hotel Muhyiddin untuk minta tolong bantu UMNO Sabah ketika PRN negeri itu.
Kata beliau, Annuar dengan begitu bangga beritahu Muhyiddin berikan berjuta-juta ringgit untuk bantu UMNO Sabah.
“Wahhh, memang Muhyiddin ini kaya sungguh ya. Sekarang ini dengar ceritanya Annuar tengah cuak bila dia terlepas cakap sebab tunggu masa saja dia dengan Muhyiddin nak kena menghadap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Sebenarnya, dalam UMNO sekarang ini bukan Annuar seorang saja jenis musang berbulu ayam. Ramai lagi pemimpin yang sama perangai jadi api dalam sekam. Mereka cuba menangguk di air keruh terutamanya ketika keadaan down selepas PRU14 lagi.
“Ada seorang, kononnya pejuang parti tapi sebenarnya seorang yang pengecut. Selepas UMNO kalah pada PRU14 dulu, dia akan lari sembunyi dalam gua. Tinggallah Datuk Seri Zahid, Tok Mat Hassan, Tok Mad Maslan dan sebahagian lagi pemimpin UMNO terus berjuang untuk membangkitkan parti semua,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, selang dua tahun sejak UMNO semakin pulih dan dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas kejatuhan kerajaan PH, barulah pemimpin itu keluar dari gua dan jalan berkepak sebab dapat menjadi menteri.
“Padahal ketika bersembunyi dulu, dia jugalah bersekongkol dengan Mahathir dan Muhyiddin untuk melanyak beberapa pemimpin atas UMNO. Dia jadi tukang buli sebalik tabir untuk bersama parti lawan membuli dan menekan UMNO.
“Dia ini memang terkenal dengan cita-cita besar nak jadi Perdana Menteri juga. Mentang-mentanglah dia banyak duit dan kaya, dia beli macam-macam orang dalam UMNO untuk sokong kerja dia.
“Sebab itulah ketika kita sibuk nak hadap PRU15 lalu, dia pula sibuk atur gerakan untuk menang pemilihan UMNO. Dia bergerak bersama kumpulannya senyap-senyap untuk buat ‘chai’ dia dari awal-awal,” katanya.
Menurut Nur Jazlan, sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Johor, beliau juga tahu kumpulan itu sudah lama bergerak secara underground untuk mempengaruhi beberapa UMNO Bahagian supaya menyokong mereka pada pemilihan parti nanti.
“Jadi, saya rasa sahabat saya yang juga Pengerusi UMNO Johor pun boleh sama-sama pantau gerakan bawah tanah yang cuba gugat keharmonian parti ini.
“Tidak cukup dengan itu, selepas PRU15 lalu, bila tiada parti yang boleh bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, dia dengan pantas jadi broker PN untuk pujuk beberapa Ahli Parlimen BN supaya memberi sokongan kepada Muhyiddin untuk tubuhkan kerajaan.
“Dia ini sanggup terbang menyeberang Laut China Selatan bagi pujuk GPS untuk bersama kerajaan PN. Tindakan gelojoh dia itu membelakangkan Presiden dan parti itu semata-mata kemaruk hendak jadi PM. Tapi, Allah Maha Adil, disebabkan sikap khianat itu dia akhirnya berputih mata,” ujarnya. – MalaysiaGazette