SYDNEY – Enam orang, termasuk dua anggota polis ditembak mati selepas serangan hendap di sebuah hartanah terpencil Australia.
Polis berkata, ketika kejadian mereka sedang mencari orang yang hilang di Wieambilla, yang terletak kira-kira 270km (168 batu) barat Brisbane, Queensland.
Individu yang hilang itu adalah Nathaniel Train, saudara lelaki kepada pemilik hartanah itu, Gareth Train.
Media-media tempatan melaporkan, hartanah yang terletak di kawasan terpencil itu menjadi tempat simpanan peluru dan senjata api..
Motif serangan masih tidak jelas, kata polis.
Media tempatan melaporkan, empat anggota polis telah ke hartanah itu pada petang semalam.
Konstabel Matthew Arnold, 26, dan Rachel McCrow, 29, ditembak mati ketika mereka menghampiri premis berkenaan.
Seorang lagi anggota polis turut terkena tembakan manakala yang keempat sempat melarikan diri.
Seorang lelaki berusia 58 tahun, dipercayai jiran premis berkenaan turut dibunuh oleh individu bersenjata.
Polis berjaya menembak mati tiga individu selepas pengepungan enam jam di premis berkenaan oleh 16 polis taktikal.
Mereka yang ditembak ialah Nathaniel dan Gareth serta seorang wanita yang belum dikenalpasti.
Pesuruhjaya Polis Queensland, Katarina Carroll menyifatkan ia sebagai “tragedi yang tidak dapat dibayangkan” dan kehilangan nyawa terbesar di negeri itu dalam satu kejadian. – Agensi